JAKARTA- Hubungan bilateral Malaysia dan Indonesia yang sudah bertaut sejak sekian tahun, mendasari pelbagai bentuk kerjasama yang merentasi segenap sektor khususnya ekonomi. Dengan kepesatan ekonomi digital pada ketika ini, usahawan kedua negara berpeluang melebarkan sayap perniagaan tanpa sempadan.
Perkembangan ini dilihat sebagai satu peluang positif yang perlu dioptimakan dalam memastikan industri perniagaan terutama perniagaan mikro, kecil dan sederhana (SME) kedua negara, ditempatkan pada medium yang tepat.

JNJ Management Consultants (JNJ Group) (Malaysia) mengintai peluang dan mengikat
kerjasama dengan OK OCE (Indonesia) dengan visi menuju “Digital Serumpun”,sebagai platform merancakkan perkembangan industri keusahawanan tempatan melalui jaringan utuh dengan negara jiran tersebut.
Dengan pengalaman lebih 15 tahun dalam industri, JNJ Group merupakan syarikat perunding swasta yang bertanggungjawab membimbing usahawan serta syarikat tempatan untuk berkembang dan berdaya saing menghadapi cabaran di era digital, dalam mencapai objektif akhir sesebuah perniagaan.
Sehingga kini, JNJ telah membimbing hampir 150,000 usahawan tempatan mengembangkan perniagaan. OK OCE diasaskan oleh usahawan Indonesia Sandiaga Salahuddin Uno, ketika beliau menyandang jawatan sebagai Wakil Gubernur Jakarta pada tahun 2017. Ia merupakan satu gerakan sosial yang mencipta peluang pekerjaan serta perniagaan mikro menyasarkan penglibatan generasi muda Indonesia. Sandiaga kini merupakan Menteri Pelancongan dan Ekonomi Digital Indonesia, di bawah pemerintahan Presiden Joko Widodo.
Perjanjian antara keduanya disepakati dalam satu Majlis Tandatangan Memorandum Kerjasama (MoC) di Kementerian Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia, di Jakarta, pada Isnin 20 March 2023.
JNJ Group diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Fauziah Husain. Manakala OK OCE diwakili oleh Iim Rusyamsi selaku Ketua Umum. Momentum bersejarah ini turut disaksikan oleh Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia, Sandiaga Salahuddin Uno. Sandi berpandangan kerjasama antara keduanya berkesinambungan dengan lawatan kerjanya di Kuala Lumpur baru-baru ini.Beliau menghargai tindakan segera antara JNJ Group dan OK OCE memeterai perjanjian bagi meningkatkan kapasiti usahawan terutamanya ultra mikro di bidang industri kreatif dan pelancongan.

Indonesia menyasarkan 4.4 juta peluang pekerjaan tahun depan.
“JNJ telah membimbing lebih 150 ribu usahawan mikro, kecil dan sederhana (SME), sementara kami mendapat maklumat bahawa sehingga kini OK OCE juga telah melahirkan lebih dari 600 ribu usahawan ultra mikro.
Kita akan saling memberi sokongan kepada lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan.
Kita juga mengharapkan ekonomi akan segera bangkit”, jelas Sandi.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif JNJ Group Fauziah Husain, ideanya adalah untuk membentuk komuniti digital antara dua negara ini, dimana keduanya mendapat akses kepada sumber kepakaran serta infrastruktur bagi membantu perkembangan usahawan tempatan dalam merintis perniagaan masing-masing.
“Kita menyesuaikan dan melengkapi struktur yang dilaksanakan OK OCE, dimana mereka menfokuskan kepada pembangunan sosial diikuti komuniti sebelum membangunkan sesuatu perniagaan.
Sementara daripada Malaysia, kita akan membawa perniagaan yang berpotensi untuk berkerjasama dengan komuniti sebelum menciptakan satu gerakan sosial”, jelas Fauziah.
Tambahnya lagi, “Mungkin kita datang dari arah dan pendekatan yang berbeza, namun satu bentuk kerjasama yang bermanfaat untuk semua pihak dapat dibentuk melalui Digital Serumpun”.
Ketua Umum OK OCE Iim Rusyamsi melihat kerjasama ini dapat memperluaskan usaha dalam melahirkan lebih banyak usahawan ultra mikro merentasi dua negara.

Melalui platform Digital Serumpun ,Iim berharap akan mendorong perkembangan industri berkaitan usahawan tempatan melalui jaringan yang utuh.
Tegasnya, “Ini tentu sahaja membuka selebar-lebarnya peluang para usahawan ultra mikro untuk menjangkau pasaran yang lebih besar.Sekaligus menciptakan peluang pekerjaan yang lebih banyak antara Indonesia dan Malaysia”.