Terkini

Johari gesa kaji semula KWSP bercagar

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani meminta kerajaan mempertimbang cadangannya supaya pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibuat secara terus berbanding dijadikan cagaran untuk pinjaman bank.

Beliau berpandangan mekanisme pengeluaran secara terus adalah lebih memudahkan mereka yang mahu membuat pengeluaran wang simpanan daripada Akaun 2 masing-masing.

Naib Presiden UMNO itu berkata, langkah menjadikan simpanan KWSP sebagai sandaran permohonan pinjaman bank hanya akan membebankan pencarum kerana mereka perlu membayar faedah yang dikenakan ke atas pinjaman.

Bagaimanapun, beliau menegaskan cadangan pengeluaran simpanan KWSP itu mesti tertakluk pada tujuan tertentu seperti pendidikan dan kesihatan, atau akan menyebabkan ramai pencarum mahu mengeluarkan simpanan masing-masing tanpa sebab seperti sebelum ini.

“Hakikatnya kalau kita nak mencagarkan simpanan kita dalam KWSP, ia memerlukan penelitian banyak perkara, antaranya dari segi perundangan, selain kita kena bayar faedah bila kita cagar.

“Ada mekanisme yang lebih mudah untuk kita bantu mereka (pengeluaran simpanan KWSP secara terus), tapi kena bersebab. Tak ada sebab, tak boleh keluarkan.

“Kalau tak ada sebab, semua orang nak ambil. Itu yang berlaku sebelum ini ketika COVID-19, di mana RM145 bilion keluar daripada KWSP dan ramai yang tak perlu pun ambil juga hingga menjejaskan simpanan masa depan mereka.

“Untuk cadangan saya (pengeluaran simpanan KWSP secara terus), mungkin mereka (kerajaan) boleh perincikan,” katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Jamek Kampung Baru di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada cadangannya supaya pengeluaran wang KWSP kepada mereka yang memerlukan dibuat secara terus berbanding dijadikan cagaran bank, sudah disuarakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau ditemui ketika program agihan bubur lambuk di Masjid Jamek, Kuala Lumpur.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: