REMBAU – Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Jabatan Perdana Menteri telah menganjurkan Program Townhall Madani Bersama Menteri Dalam Negeri. Majlis dihadiri lebih 1,000 pelajar yang terdiri daripada pelajar daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Rembau, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Chembong, Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Rembau dan Kolej Vokasional (KV) Dato’ Lela Maharaja, KV Dato’ Udang Haji Muhammad Sharip dan Politeknik Nilai. Program bermula dengan sesi Townhall Ikon Madani bersama Datuk Aznil Haji Nawawi, selebriti terkenal tanah air dalam slot “Membentuk Siswa Madani”. Turut diadakan sesi penyerahan sumbangan dan bantuan awal pendidikan seperti bantuan tunai, (Keperluan Asas ke IPT) Kit Madani dan pemberian cermin mata percuma ke Menara Gading kepada seramai 1,500 lebih pelajar yang layak dari komuniti setempat. Majlis Perasmian Jelajah Ikon Madani Peringkat Negeri Sembilan ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Dr. Mohammad Agus Yusoff, Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di Dewan Biduanda, UiTM Kampus Rembau, Cawangan Negeri Sembilan.

Program Jelajah Ikon Madani (IKON) merupakan program inisiatif Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Jabatan Perdana Menteri dan PRIHATIN berkonsepkan bual bicara yang menyasarkan pelajar-pelajar baru dan bakal graduan di Institusi Pendidikan Tinggi. IKON juga merupakan program perkongsian ilmu daripada Tokoh-tokoh ternama yang berjaya dalam pelbagai bidang seterusnya melahirkan graduan yang mempunyai mentaliti kelas pertama. Program IKON yang akan dilaksanakan ini juga turut menjemput beberapa Ikon Malaysia daripada pelbagai bidang untuk perkongsian ilmu dan pengalaman.

Menurut YBhg. Dato’ Dr. Mohammad Agus Yusoff, Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), “Program Jelajah Ikon Madani ini merupakan satu aspirasi yang perlu diterapkan kepada pelajar-pelajar Institusi Pendidikan Tinggi kerana ia merupakan platform bagi mengembangkan dan menukar idea serta pengalaman di antara Ikon-Ikon jemputan bersama para pelajar yang mempunyai pandangan serta pendapat yang boleh diberikan sepanjang program berlangsung. Saya turut berharap agar semua warga serta rakyat Malaysia menyambut baik program yang akan dianjurkan oleh Kerajaan melalui J-KOM dan PRIHATIN dalam menyahut seruan dan memangkin wadah ‘Malaysia Madani’ kerana pelbagai manfaat serta semangat kejituan dalam melahirkan semangat perpaduan di antara kita rakyat Malaysia untuk sama-sama berganding bahu merealisasikan Malaysia Madani seterusnya mewujudkan Malaysia yang sejahtera, maju dan makmur. Saya turut mengambil peluang ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada PRIHATIN kerana menerima mandat kerajaan dalam melaksanakan program yang memanfaatkan komuniti dan membantu mengurangkan beban golongan kurang bernasib baik.”, ujar beliau.

Manakala Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Dato’ Mohd Aizuddin Ghazali berkata, “Melalui program ini, J-KOM dan PRIHATIN menyediakan platform kepada komuniti pelajar dan masyarakat setempat untuk berdialog secara langsung tentang isu-isu semasa bagi komunikasi dua hala yang akan memberi impak luar biasa kepada mereka. IKON juga akan memanfaatkan kumpulan sasar di kalangan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT), pelajar asnaf dan juga komuniti setempat.
Selain itu, kami akan turun padang berjumpa dengan komuniti setempat untuk memberi pemahaman konsep Malaysia Madani kepada rakyat di bawah sekaligus memanfaatkan kumpulan sasaran serta komuniti setempat bagi memangkin wadah Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia.”

J-KOM dan PRIHATIN melihat program kali ini mampu mengangkat dan memperkasakan pendidikan ke suatu tahap yang lebih tinggi dengan kerjasama yang diatur dan dilaksanakan bersama pihak-pihak yang terlibat bagi Program Jelajah Ikon Nasional “Membentuk Siswa Madani” dalam memberikan pengisian serta maklumat kepada pelajar-pelajar untuk menentukan hala tuju mereka di institusi pendidikan tinggi.
Dalam masa sama, Pengacara popular tanah air, Datuk Aznil Nawawi atau lebih mesra dipanggil Pak Nil antara Ikon yang diketengahkan dalam Program Jelajah Ikon Madani di institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara.

Aznil ketika mengulas perkara itu berkata, beliau agak terkejut kerana pada awal beranggapan hanya hadir bagi berkongsi cerita serta kisah hidup sebagai inspriasi buat golongan mahasiswa.
Berkongsi mengenai sesi Townhall Ikon Madani bersama Pak Nil dalam slot “Membentuk Siswa Madani”, Pak Nil berkata, beliau berkongsi tentang sejarah serta latar belakang hidupnya yang berasal dari keluarga miskin bandar.
Menurutnya, beliau juga berkongsikan mengenai keyakinan diri bukan semata-mata bergantung kepada aspek fizikal seperti bentuk badan, wajah serta warna kulit, tetaoi bagaimana seseorang itu bersuara, didengari dan dilihat.
Turut hadir Prof. Dr. Mohd Yamin Yasin (Rektor UiTM Kampus Rembau), Dato’ Tuan Asmawi Tuan Umar (Penasihat Audit & Kualiti Dalaman), En. Noriman Ariff Saiful Bahar (YDP MPP UiTM Cawangan Negeri Sembilan) dan Tuan Muhammad Allif Ibrahim (Penyelaras Dun Kota, Rembau).