Shah Alam – Ally Logistic Property (ALP), pemaju dan pengendali infrastruktur logistik pintar berpangkalan di Taiwan, mengumumkan pembangunan OMEGA 2 Shah Alam, kemudahan rantai sejuk pintar binaan khas pertamanya di Malaysia dengan nilai pelaburan kira-kira RM500 juta.
Projek yang bakal dibangunkan di kawasan seluas sembilan ekar di selatan Shah Alam itu dijadual siap pada suku kedua 2028 dan menjadi projek OMEGA kedua syarikat berkenaan di Lembah Klang.

OMEGA 2 Shah Alam bakal mencipta sejarah sebagai kemudahan rantai sejuk Sistem Penyimpanan dan Pengambilan Automatik (AS/RS) berbilang tingkat pertama di Malaysia yang dibangunkan oleh pemaju. Kemudahan itu akan menawarkan ruang binaan seluas kira-kira 577,000 kaki persegi serta lebih 30,000 kedudukan palet dalam sistem AS/RS automatik miliknya.
Pembangunan tersebut direka menggunakan konsep pelbagai penyewa bagi membolehkan beberapa rantaian bekalan beroperasi dalam satu ekosistem infrastruktur bersama. Pendekatan itu dijangka membantu mengurangkan pertindihan aset logistik selain menurunkan penggunaan tenaga secara keseluruhan.
Sebagai hab logistik pelbagai suhu, OMEGA 2 Shah Alam akan menggabungkan zon penyimpanan ambien, berhawa dingin, sejuk dan beku bagi memenuhi keperluan industri makanan dan minuman, farmaseutikal, peruncitan serta e-dagang yang semakin berkembang di Malaysia.

Pengarah Urusan ALP Malaysia, Bryan Yeo berkata, permintaan terhadap infrastruktur rantai sejuk moden di negara ini semakin meningkat, namun kemudahan penyimpanan sejuk automatik dan binaan khas masih terhad.
“OMEGA 2 Shah Alam direka untuk menangani jurang tersebut menerusi penyelesaian rantai sejuk yang lebih pintar dan mampan. Selain meningkatkan kecekapan operasi, kami percaya infrastruktur logistik termaju mampu menyokong aspirasi Malaysia menjadi ekonomi berpendapatan tinggi dan berpacukan teknologi,” katanya.
Menurut beliau, kemudahan itu turut dibangunkan berasaskan prinsip kemampanan menerusi penggunaan sistem AS/RS berketumpatan tinggi dan sistem pengurusan tenaga pintar bagi mengurangkan penggunaan tenaga serta mengoptimumkan penggunaan sumber.
Projek itu juga selaras dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta aspirasi negara di bawah Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 yang memberi penekanan kepada pembangunan industri mampan dan penggunaan teknologi termaju.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, pembangunan OMEGA 2 Shah Alam mencerminkan pelaburan bernilai tinggi dan berpacukan teknologi yang dihasratkan negara menerusi RMKe-13 dan NIMP 2030.
“Projek ini memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pelaburan logistik termaju dan rantaian bekalan yang kompetitif di rantau ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari menyifatkan pelaburan ALP Malaysia sebagai sejajar dengan visi Selangor untuk menjadi hab utama industri bernilai tinggi dan berpacukan teknologi.
Beliau berkata, Invest Selangor akan terus memudah cara pelaburan strategik bagi memperkukuh ekosistem industri pintar dan logistik moden di negeri itu.
