DSC_9052

Johor Bahru – Seramai 650,000 pengunjung dijangka menghadiri Festival Majestic Johor 2023 anjuran Tourism Johor dijadualkan berlangsung di Puteri Harbour, di sini, pada 26 Ogos hingga 3 September depan.

Pengarah Tourism Johor, Suhairi Hashim berkata, penganjuran festival tersebut pada tahun lalu, berjaya merekodkan seramai 600,000 pengunjung. Menurutnya, justeru sasaran pada tahun ini ditingkatkan dengan jangkaan pengunjung termasuk dari negara jiran, Singapura dan Indonesia.

Festival 9 hari itu melibatkan kerjasama dengan Star Vendors Event Sdn Bhd.  yang sememangnya memiliki rekod kejayaan menganjurkan beberapa karnival sebelum ini.

“Walaupun festival kali ini diadakan singkat sikit, tetapi kita mendapat dua cuti hujung minggu serta satu cuti hari kebangsaan, dan juga bersempena cuti sekolah di Malaysia dan Singapura. 

“Penglibatan agensi-agensi kerajaan dan juga 10 daerah Negeri Johor akan juga membawa pelbagai produk, makanan tradisional dan perkhidmatan dari daerah masing-masing. 

“Untuk sambutan festival 2023 ini, kita bersiap sedia awal dari segi persiapan tempat, vendor dan promosi berbanding tahun lalu berikutan pandemik. Semua ditempah lebih awal dan tersusun dengan rapi,” katanya pada sidang media, pada Rabu. 

Suhairi berkata, Festival Majestic Johor 2023 kali ini bakal menampilkan pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan mewarna kanak-kanak, karaoke Star Voice selain pertunjukkan bunga api sempena Hari Kemerdekaan. 

“Turut akan disaksikan pembabitan 60 artis terkenal tanah air yang membuka ‘booth’ dan menjual rangkaian produk mereka sendiri seperti Wak Doyok, Dato’ Sri Aliff Syukri, Khai Bahar, Ayu Damit, Sherry Ibrahim, Man Kidal, Yassin Senario dan ramai lagi. 

“Acara utama yang menjadi tarikan pada tahun ini ialah penampilan khas pasukan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sempena ulang tahun penubuhannya ke-10,” katanya.

Dari kiri; Pengarah Urusan dan Pengasas Star Vendors Event, Datuk Ifa Raziah, Pengarah Tourism Johor, Suhairi Hashim dan ADUN Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad

Pengarah Urusan dan Pengasas Star Vendors Event, Datuk Saripah Raziah atau lebih dikenali sebagai Ifa Raziah berkata, pihaknya amat berbesar hati terpilih sebagai penganjur bersama menjayakan festival terbesar negeri Johor itu.

“Kami melalui pelbagai peringkat dari penyerahan proposal, pembentangan kertas kerja dan temuduga bersama pihak Tourism Johor dan akhirnya dipilih sebagai penganjur, semasa pembentangan kami perlu bersaing dengan lima pihak organizer lain dan Alhamdulillah rezeki menyebelahi kami.

“Ini adalah satu rekod terbaik bagi Star Vendors dan Insya Allah kami akan lakukan yang terbaik untuk semua” ujarnya.

Beliau mengajak orang ramai memeriahkan festival ini dan pastinya pelbagai aktiviti menarik bakal menanti anda semua.

“Pelbagai program menarik telah disusun untuk semua pengunjung, antaranya hot balloon secara percuma, konsert percuma setiap malam, meet & greet bersama selebriti, persembahan kek terpanjang dengan pengiktirafan Malaysia Book of Records dan banyak lagi” jelasnya lagi.

Turut memeriahkan minggu tersebut adalah Hot Air Balloon yang dibawakan oleh Golden Value Ventures Academy secara percuma untuk 160 pengunjung terawal dengan syarat yang ditetapkan.

Ifa Raziah turut menambah, Star Vendors sentiasa memberi peluang kepada usahawan selebriti dan para usahawan lain untuk berniaga bersama-sama bagi menambah pendapatan.

Star Vendors sebelum ini berjaya memecahkan rekod menganjurkan festival jualan 100 jam tanpa henti di Star Vendors KLCC Mega Raya April lalu disamping banyak lagi festival lain seluruh Malaysia.

Tambahnya, Star Vendors akan mengorak langkah ke hadapan bagi menganjurkan festival di peringkat global pula.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading