KUALA LUMPUR – Lebih 11,000 pelajar dari seluruh negara berjaya mempamerkan keindahan warisan dan kepelbagaian budaya tanah air menerusi penganjuran Pertandingan Seni Kraf Kolaj Kebangsaan KOKO KRAF CLUB.
Program anjuran Nestlé Koko Krunch dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ini menarik penyertaan seramai 11,208 pelajar daripada 534 sekolah di 141 daerah. Berinspirasikan Tahun Melawat Malaysia 2026, pertandingan ini mengangkat tiga tema utama iaitu Beauty of My District, Beauty of My State, dan Beauty of Malaysia.
Selepas persaingan sengit di peringkat daerah dan negeri, 15 pasukan terbaik bertanding di peringkat akhir yang berlangsung di NU Sentral, Kuala Lumpur.

Sekolah Kebangsaan (SK) Balai Badang yang dianggotai Aniqkh Hasiff, Afifa Auliaa, dan Nisaa Izz diangkat sebagai juara kebangsaan. Karya kemenangan mereka memikat juri menerusi gabungan kreatif mercu tanda ikonik negara, hidupan liar tempatan, bunga Rafflesia, serta elemen tradisional. Atas kejayaan tersebut, mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 berserta sijil, manakala sekolah mereka menerima RM2,000.
Timbalan Menteri Pendidikan, YB Wong Kah Woh berkata, peranan pendidikan bukan sekadar membekalkan ilmu akademik, malah perlu memberi ruang kepada murid meneroka bakat dan potensi diri.
“Platform seperti KOKO KRAF CLUB melengkapkan pengalaman pembelajaran dengan menyediakan ruang kepada pelajar meneroka seni visual serta mempamerkan bakat mereka. Pengalaman seperti ini memberi peluang yang baik kepada bakat muda untuk berasa bangga dengan hasil karya dan asal usul mereka,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Eksekutif Perniagaan Nestlé Cereal Partners Worldwide (Malaysia dan Singapura), Philip Joe menegaskan penyertaan luar biasa murid membuktikan potensi besar golongan muda dalam mengekspresikan sudut pandang mereka menerusi seni.
“Setiap seni kolaj membawa kisah berbeza sama ada mengenai mercu tanda setempat, tradisi budaya, mahupun masyarakat yang menjadikan sesebuah komuniti itu istimewa. KOKO KRAF CLUB diasaskan untuk memberi ruang ekspresi kreatif ini,” jelas beliau.
Pertandingan ini turut memberikan pengalaman berharga kepada sekolah luar bandar, seperti SK Tangkungon dari Telupid, Sabah, yang berjaya menghantar dua pasukan ke peringkat akhir.
Guru SK Tangkungon, Nelly Jimmy menganggap kejayaan melangkah ke Kuala Lumpur sebagai pencapaian membanggakan hasil sokongan padu guru, ibu bapa, dan komuniti sekolah. Beliau menambah, pendedahan itu mendorong pihak sekolah menubuhkan kumpulan kolaj khas sebagai persediaan untuk pertandingan tahun hadapan.
