IMG_20231023_130432_276

KUALA LUMPUR – Himpunan Solidariti Bersama Gaza yang diadakan di Masjid Negara baru-baru ini adalah sebagai tanda bersolidariti bersama rakyat Palestin ekoran serangan rejim Zionis di Semenanjung Gaza.

Tanpa mengira ideologi politik, perbezaan agama dan kaum, himpunan anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dilihat mencapai objektif sebenar dengan sokongan lebih 5,000 individu termasuk Ahli Parlimen dari kerajaan, pembangkang, pemimpin politik pelbagai parti dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) tempatan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang , Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail

Menurut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang , Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail, penindasan dan kezaliman yang dilakukan Israel dan tentera Zionis terhadap saudara Islam di Palestin merupakan satu tindakan yang tidak berperikemanusiaan dan seharusnya ditentang oleh semua pihak termasuk rakyat di negara ini.

“Kita harus tolak tepi perbezaan bangsa, agama mahupun perbezaan fahaman politik dalam solidariti kita bersama saudara di Palestin.

“Kekejaman yang sedang berlaku sekarang di bumi Gaza adalah satu perbuatan yang sangat keji!

“Rakyat Malaysia disarankan untuk bersatu dalam memberi sokongan kepada rakyat Palestin kerana ini masanya kita menyatakan sokongan dan semangat dari pelbagai agama mahupun bangsa supaya mereka terus berjuang demi membebaskan bumi Palestin dari zionis jahanam,”katanya.

Beliau juga menyifatkan acara Himpunan Solidariti bersama Gaza yang di perkarangan Masjid Negara di ibu negara pada 13 Oktober lalu sebagai satu tindakan progresif daripada Pemuda UMNO Malaysia.

Antara yang hadir dan memberi ucapan ialah Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh; Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin; bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu serta Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli.

Turut hadir memberi sokongan ialah Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari dan Ketua Pemuda DAP, Dr Kelvin Yii Lee Wuen.

Jelasnya lagi, himpunan tersebut dilakukan bagi membuka mata dan memanggil seluruh rakyat Malaysia menyampaikan mesej yang jelas bahawa Malaysia menentang segala bentuk pencabulan perundangan hak asasi manusia sejagat.

“Kita menggesa pihak berwajib untuk bertindak tegas dan segera menghentikan segala bentuk kekejaman, penindasan dan ketidakadilan ini.

“Kempen ini akan bergerak ke semua pelusuk tanah air dan masyarakat dalam negara.

“Tidak cuma itu, demi keprihatinan, sumbangan juga dilakukan untuk dihantar kepada sukarelawan yang terbabit” ujarnya lagi.

Beliau turut berharap mesej yang disampaikan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan parti dapat sampai ke pihak terbabit serta mendesak negara yang bersekongkol dengan rejim Israel supaya membebaskan Palestin.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading