Kuala Lumpur – Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah menetapkan 29 September setiap tahun sebagai Sambutan Hari Jantung Sedunia. Pada tahun 2023, tema sambutan Hari Jantung Sedunia adalah Use Heart, Know Heart iaitu Kenali Jantung, Hargai Jantung.
Sambutan hari-hari kesihatan sebegini dilaksanakan bagi meningkatkan aktiviti advokasi mensasarkan semua lapisan masyarakat agar lebih cakna dengan kesihatan diri sendiri. Khusus bagi Sambutan Hari Jantung, advokasi adalah ditumpukan kepada kepentingan memastikan jantung yang sihat tanpa sebarang komplikasi.
Sehubungan itu, Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC) melalui Unit Makmal Kardiologi menganjurkan sambutan Hari Jantung Sedunia: Use Heart Know Heart bagi menggalakkan kesedaran mengenai kepentingan kesihatan jantung.

Majlis telah dirasmikan oleh Pengarah PPUM Profesor Dr. Nazirah Hasnan dan dalam ucapannya banyak menekankan rekod peningkatan pesakit daripada 11.6% pada tahun 2000 kepada 17.0% pada tahun 2020.
“Di Malaysia, penyakit berkaitan jantung kekal sebagai penyebab utama kematian di mana 18,515 kematian atau 17.0% daripada jumlah berpunca daripada penyakit berkaitan jantung.
“Statistik terkini Jabatan Perangkaan Malaysia 2022 menunjukkan bahawa Ischaemic heart diseases mencatatkan sebab kematian kedua tertinggi di negara ini pada tahun 2021 iaitu 13.7% selepas COVID-19″ katanya.
Sebagai tambahan, Ischaemic heart diseases juga merupakan sebab kematian utama bagi kumpulan umur 41 hingga 59 tahun (20.0%) dan 60 tahun ke atas (18.0%).
Jelasnya, Perbelanjaan akibat penyakit jantung membebankan negara. Berdasarkan laporan The Direct Healthcare Cost of Non-communicable Diseases in Malaysia yang dikeluarkan pada tahun 2022, pada tahun 2017 dianggarkan sebanyak RM3.93 bilion daripada jumlah keseluruhan RM9.65 bilion kos perawatan kesihatan adalah digunakan bagi perbelanjaan merawat pesakit jantung dan beban kos ini dijangka akan terus meningkat jika tindakan sewajarnya tidak diambil untuk mengawal dan mencegah penyakit tersebut.

Dalam majlis sama, Pengerusi Hari Jantung Sedunia: Use Heart Know Heart PPUM, Profesor Madya Dr. Alexander Loch turut menerangkan bukti saintifik menunjukkan penyakit diabetes, hipertensi, berat badan yang berlebihan serta tahap kolesterol yang tinggi menyumbang kepada peningkatan penyakit kardiovaskular. Katanya, pemakanan dan amalan gaya hidup yang tidak sihat seperti merokok, kurang bersenam, stres dan pengambilan alkohol juga meningkatkan risiko penyakit jantung. Rakyat Malaysia dicatatkan berada pada paras 44.5 peningkatan kadar obesiti tertinggi.
Justeru itu, Kementerian Kesihatan Malaysia sedang berusaha untuk memperkukuhkan aktiviti-aktiviti pencegahan serta pengesanan awal faktor risiko agar intervensi dan rawatan awal dapat diberikan.
Di antara usaha utama yang dilakukan, adalah dengan memperkenalkan Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) bermula Julai 2022 dan mensasarkan seramai 1.5 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun. Saringan yang dilaksanakan termasuk pengukuran Indeks Jisim Tubuh atau BMI, pemeriksaan tekanan darah, ujian paras gula dan ujian paras kolesterol.
Sehubungan itu, Pakar Kardiologi Fakulti Perubatan, Profesor Dr. Imran Zainal Abidin menyarankan masyarakat memperkukuhkan aktiviti intervensi termasuk intervensi hidup secara aktif dan promosi cara hidup sihat seperti aktiviti fizikal dan senaman, makan secara sihat, berhenti merokok dan minda sihat.

“Saya menyeru kepada semua lapisan masyarakat agar mengambil kesempatan untuk membuat saringan bagi mengenalpasti risiko yang anda hadapi agar masalah penyakit jantung dapat diatasi.
“Saya juga menyeru agar semua lapisan masyarakat terus mengamalkan gaya hidup sihat dengan mengambil enam langkah utama termasuk mengamalkan gaya hidup sihat, berhenti merokok, melakukan aktiviti fizikal, makan secara sihat dan seimbang, mengekalkan berat badan yang ideal dan menghindari alkohol” ujarnya.

Majlis turut membawa dua orang pesakit jantung bagi berkongsi pengalaman dan nasihat kepada orang ramai sebagai kesedaran dan kepentingan penjagaan jantung sihat.
