Kuala Lumpur – Coca-Cola sedang bergerak kearah lebih inovatif dalam pembungkusan plastik di Malaysia dengan memperkenalkan botol Coca-Cola Original Taste dan Coca-Cola Zero Sugar 500ml di seluruh negara, yang dihasilkan sepenuhnya daripada botol plastik kitar semula, tidak termasuk penutup dan label.
Pengarah Hal Ehwal Awam, Komunikasi dan Kemampanan Coca-Cola Malaysia, Singapura dan Brunei, Khairul Anwar Ab Ghani berkata, penekanan inisiatif ini sejajar dengan matlamat kemampanan yang lebih luas yang bertujuan untuk mengurangkan pelepasan karbon. Objektifnya adalah untuk meminimumkan penggunaan bahan plastik dipasaran dan mengelakkan kebocoran serta pencemaran alam sekitar.
“Kami mahu memastikan produk yang kami jual di pasaran tidak mencemarkan alam sekitar, sebaliknya, dikumpulkan akhirnya digunakan semula sebagai bahan bungkusan,” katanya.
“Kami berhasrat menggunakan botol plastik daripada bahan kitar semula secara menyeluruh menjelang 2030.
“Setakat ini beberapa negara seperti Indonesia, Myanmar, Vietnam, Thailand dan Singapura turut menggunakan botol daripada rPET.
“Misi kami adalah memastikan bahan kitar semula daripada tin minuman dan botol plastik dapat digunakan semula sebagai langkah melestarikan alam sekitar,” katanya dalam majlis pelancaran Bottle Recycled-PET (rPET) Coca-Cola Malaysia di Plaza Equatorial, di sini pada Khamis.

Jelasnya lagi, inovasi tersebut penting bagi menyumbang ke arah kelestarian alam dan sejajar dengan hasrat kerajaan yang ingin menjadikan Malaysia negara rendah karbon menjelang 2050.
Bagi menjayakan misi tersebut beberapa syarikat seperti AEON Malaysia,Hiroyuki Industries dan Trqsh4Cash turut bersama-sama membantu mengumpulkan botol plastik untuk diproses menjadi resin.
“Walaupun syarikat menggunakan bahan alam sekitar, namun tiada kenaikan harga terhadap semua produk keluaran syarikat kami
“Kita mempunyai kilang memproses dan pembuatan di Bandar Enstek, Negeri Sembilan untuk menghasilkan botol kitar semula.
“Matlamat kami adalah untuk terus menggunakan bahan kitar semula dengan melibatkan diri secara aktif untuk masa depan yang lebih baik,” ujarnya.
Pengurus Barisan Hadapan Hal Ehwal Awam, Komunikasi dan Kelestarian (PACS), Wan Ahmad Syazwan Mohamed menambah, di pasaran Asia sendiri, sejumlah besar pelancaran telah dijalankan.
“Tahun lepas, kami telah memulakan pelancaran botol kitar semula di Vietnam dan Myanmar, dan tahun ini, kami memulakan pelancaran di Indonesia pada Jun, diikuti oleh Filipina pada November.
“Kini, giliran Malaysia untuk pelancaran PET (polietilena tereftalat) dan minggu depan, akan dilancarkan di Singapura pula” ujarnya.

Botol plastik PET (rPET) 100% kitar semula mematuhi piawaian global yang ketat oleh Syarikat Coca Cola untuk pembungkusan botol plastik gred makanan, 100% kitar semula. Selain itu, ia disahkan halal, diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Ulasnya, dengan menggunakan tagline ‘dari botol jadi botol’ mengajak pengguna untuk menyumbang barangan kitar semula sebagai alternatif membantu ke arah perniagaan yang mampan.
“Kami juga mengembangkan program pengumpulan barangan kitar semula menerusi kerjasama dengan pihak industri supaya membantu menyumbang kepada ekonomi lestari.
Tahun ini, Coca-Cola Malaysia dan rakan kongsinya memperluaskan usaha mereka ke 15 pusat beli-belah AEON di lima negeri antaranya Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Botol yang dikumpul kemudiannya diangkut ke pengitar semula Hiroyuki Industries, di mana botol ini akan nmenjalani proses untuk diubah menjadi botol lain pada peringkat seterusnya.
