Kuala Lumpur – Penyanyi Naqiu menyifatkan pembuka tahun 2024 adalah terbaik baginya sejak kembali aktif dalam industri pada tahun 2019.
Naqiu atau nama sebenarnya Wan Naqiudin Mohd Najib, 38, berkata pelbagai tawaran konsert diterima sejak pusingan akhir All Star Gegar Vaganza tahun lepas.
“Alhamdulillah, banyak tawaran yang saya terima dan kebanyakkan adalah konsert samada special appearance dan juga konsert solo.
“Antaranya adalah konsert After Hours dimana saya akan sepentas bersama bonda Hetty Koes Endang sebagai penyanyi undangan dan ini merupakan peluang yang saya tidak akan lepaskan.
“Saya menganggap Bonda Hetty sebagai guru dan ibu saya kerana beliau banyak membentuk karekter nyanyian saya semenjak 2019 sehingga sekarang” katanya selepas sidang media pada khamis.
Jelasnya, pihaknya masih lagi meneliti dan menimbangkan setiap tawaran yang diterima dan memastikan ianya memenuhi permintaan peminat.
Beliau turut menambah, perancangan muncul dengan lagu baru pada tahun ini telah dirancang.
“Sebelum ini, saya mencipta lagu sendiri dan pada tahun ini saya ingin bekerjasama dengan komposer lain dan ini memakan sedikit masa kerana saya perlu memilih komposer yang sesuai kerana setiap komposer memiliki selera dan melodi tersendiri” ujarnya.
Naqiu menambah, dalam masa terdekat ini beliau akan berjumpa dengan Datuk M.Nasir bagi membuat pemilihan melodi bagi lagu barunya itu nanti.
“Sudah lama saya berhajat untuk bekerjasama dengan Datuk M.Nasir dan apabila saya nyatakan hajat itu kepadanya, beliau dengan hati terbuka menerima permintaan saya.
“Alhamdulillah, ini juga satu pencapaian terbaik sepanjang kerjaya apabila dapat bekerjasama dengan legenda muzik tanah air” tambahnya.
Konsert After Hours ini akan berlangsung pada 24 Februari di Pusat Konvensyen Shah Alam dan tiket masih boleh didapati di www.tix-box.com
