Filem Babah bukan sekadar naskhah tentang kasih seorang ayah kepada anak perempuannya. Ia adalah sebuah karya yang merangkum makna mendalam tentang kekuatan jiwa, rindu yang merentasi masa, dan pengorbanan tanpa noktah. Diterbitkan oleh Nads Media Entertainment Sdn Bhd, Babah tampil sebagai sinema yang memberi dimensi baharu dalam dunia perfileman Malaysia, melangkaui stereotaip drama keluarga biasa.
Filem ini tidak sekadar menjual emosi kesedihan, tetapi mengangkat tema rindu. Rindu dalam konteks Babah adalah pengalaman mendalam yang bercampur baur satu perasaan yang membawa penonton mengimbau detik-detik manis dan perit dalam kehidupan mereka. Ia adalah emosi yang tidak terikat pada saat kehilangan semata, tetapi juga terhadap kenangan yang tidak dapat dilupakan.

Bagi masyarakat tempatan, tema rindu ini mengundang refleksi, terutama dalam konteks hubungan keluarga. Penonton dapat mengenang kembali jasa dan pengorbanan seorang ayah dalam membentuk kehidupan anak-anak mereka, sambil memahami perasaan halus yang mungkin jarang diungkapkan dalam kata-kata.
Filem Inspirasi Pesakit Sindrom Gullain-Barre
Filem Babah yang dihasilkan oleh syarikat produksi Nads Media Entertainment ini diinspirasikan selepas Nadia Nadzri selaku idea asal dan penerbit melihat sebuah klip video viral tentang seorang ayah membuat persembahan di majlis perkahwinan anak perempuannya.
Emosi seorang ayah yang menjaga anak perempuannya dari kecil dan kemudian melepaskan tanggungjawab kepada lelaki lain adalah amat dalam.

Bagi menambah emosi dan memberi kesedaran kepada masyarakat selepas menonton filem Babah, pengarah mengambil pendekatan dengan sebuah lagi klip video tentang seorang perempuan yang bertarung nyawa menghidap Sindrom Gullain-Barre.
Menyentuh Hati, Bergenang Air Mata
Pengarah Mohd Shah Faizul Ibrahim memilih gaya cinema verite, iaitu penceritaan yang santai, realistik, dan bersahaja. Ini memberikan kelebihan kepada filem untuk merangkul emosi penonton secara organik, tanpa paksaan. Gaya ini juga menjadikan Babah sebuah karya yang dekat dengan realiti masyarakat Malaysia, kerana ia memaparkan perjuangan harian yang mungkin pernah dialami atau disaksikan oleh penonton.
Babah, yang menggambarkan kisah Isyak dan Maya, menonjolkan metafora seorang ayah sebagai pahlawan yang tidak mengenal lelah. Isyak bukan sekadar watak seorang ayah, tetapi lambang ketabahan manusia. Apabila Maya menghadapi cabaran getir, termasuk disahkan menghidap Sindrom Guillain-Barre (GBS), Isyak menggalas tanggungjawab itu dengan hati yang teguh, menggambarkan kasih sayang sejati yang tidak pernah pudar.

Secara peribadi, kami sifatkan Babah sebagai sebuah filem alternatif atau ‘indie’ yang terkandung kualiti luar biasa terutama dari segi plot penceritaan, terjemahan lakonan, lakon layar dan banyak perihal penting lain dalam kemenjadian sesebuah naskhah.
Pertama sekali, syabas diucapkan buat para pelakon terlibat dalam Babah terutama Qi Razali yang melakonkan karakter Isyak iaitu seorang bapa yang bertungkus-lumus membesarkan anak tersayang bernama Maya (lakonan Sweet Qismina).
Watak Babah, Mama dan Maya paling berkesan
Sejujurnya, watak Babah, Mama dan Maya penguat jalan cerita filem ini. Watak mereka benar-benar bermain dengan emosi penonton sehingga membuatkan mereka menangis.
Tidak menyangka, Qi boleh menzahirkan kualiti lakonan seperti apa dipaparkan dalam filem terbitan Nads Media Entertainment itu.

Sehinggalah menonton Babah, barulah dapat disimpulkan Qi seorang anak seni yang luar biasa bakatnya. Selain mengalir DNA muzik, dia juga anak wayang yang tahu apa perlu dikerjakan di layar perak.
Watak Babah atau Isyak dimainkan dengan cukup cemerlang. Dari segi penghayatan, lontaran dialog, bahasa isyarat (kerana Isyak kemudiannya kehilangan deria pendengaran).
Kejayaan itu disambut barisan pelakon lain seperti Cristina Suzanne (Hayati), Sweet Qismina (Maya) dengan sinergi yang jarang dipamerkan pelakon di layar perak.
Sekitar dua jam menonton Babah, banyak kali jugalah air mata tumpah membasahi pipi disebabkan dua beranak tersebut.
Selain itu, naratif dipaparkan dalam Babah juga lari daripada kebiasaan atau luar kotak kelaziman.
‘Kenapa Babah tak sama macam babah lain?’ Daripada kesimpulan itulah kualiti dicetuskan filem ini berjisim sangat berbeza berbanding naskhah tempatan lain.
Kutip RM5.9 juta
Ternyata Babah bukanlah filem semborono atau tangkap muat demi memenuhi tuntutan Dana Kandungan Digital (DKD). Tetapi inilah sebuah filem ringan namun memberi impak terus kedalam jiwa.
Babah membuatkan kita rindu kepada ibu bapa lebih-lebih lagi bagi penonton yang telah kehilangan ayah.
Babah adalah ruang untuk penonton merenung kembali hubungan keluarga mereka sendiri. Filem ini tidak hanya berhasrat menyentuh emosi, tetapi juga menginspirasikan penonton untuk menghargai ikatan keluarga yang mereka miliki.

Sebagai sebuah karya sinematik yang jarang ditemui dalam arus perdana, Babah berpotensi menjadi sebuah penanda aras baharu dalam sinema tempatan. Ia bukan sekadar hiburan, tetapi cerminan kehidupan dan kenangan yang sarat makna.
Tahniah kepada pengarah, penulis skrip, produser, barisan pelakon dan krew filem Babah. Anda berjaya menyuntik rindu dan kasih sayang kepada Babah seluruh Malaysia.
Sebagai tanda penghargaan kepada penonton, pihak produksi dengan sukacitanya mengumumkan kempen istimewa. Penonton yang membeli tiket berpeluang memenangi hadiah percutian eksklusif, Kempen ini direalisasikan dengan tajaan daripada Ottoman Tour and Travels Sdn. Bhd.:
● 2 tiket: Penginapan mewah di Langkawi Sembilan Resort.
● 4 tiket: Percutian yang tidak dapat dilupakan ke Jepun.
● 6 tiket: Perjalanan spiritual untuk Umrah atau pengembaraan ke Eropah.
