Kuala Lumpur – Filem Gayong 2 kembali ke layar perak bukan sekadar mengangkat kisah legenda pengasas Silat Gayong, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman, sebaliknya tampil dengan naratif lebih gelap yang menyentuh isu kuasa, rasuah dan jenayah berstruktur pada era pasca Perang Dunia Kedua.
Sekuel terbaharu itu memperluaskan pendekatan filem pertamanya dengan menjadikan seni silat bukan hanya sebagai elemen aksi, tetapi juga simbol perjuangan masyarakat ketika berdepan tekanan sistem dan penjajahan.

Penerbit Eksekutif, Khairul Anuar Latip berkata, Gayong 2 mengambil inspirasi daripada pelbagai sisi kehidupan tokoh berkenaan yang jarang diketengahkan, termasuk realiti sosial yang berlaku ketika era tersebut.
Menurutnya, kisah ini membuka ruang untuk meneliti semula bagaimana isu seperti rasuah, gangsterisme, penyeludupan dan eksploitasi sudah wujud sejak sekian lama dalam struktur masyarakat.
“Dalam kisah mahaguru Meor ini, ada banyak lapisan pengalaman yang boleh diketengahkan. Untuk Gayong 2, kami pilih untuk fokus kepada isu yang masih relevan sampai hari ini.
“Isu rasuah, gangsterisme, penyeludupan dan eksploitasi sebenarnya telah berlaku sejak lebih 70 tahun lalu. Secara tidak langsung, kami turut memaparkan bagaimana budaya penjajahan itu telah lama bermula.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Malam Gala dan Tayangan Perdana Filem Gayong 2 di sini, semalam.
Sementara itu, Pengarah Gayong 2, Faisal Ishak berkata filem itu cuba menghidupkan semula suasana Nusantara sekitar tahun 1940-an hingga 1950-an dengan pendekatan yang lebih serantau, termasuk pemilihan pelakon dari pelbagai negara Asia.
Menurutnya, pendekatan itu bertujuan menggambarkan bahawa masyarakat rantau ini pernah berkongsi ruang sejarah dan budaya yang sama sebelum merdeka.
“Saya mahu kembalikan suasana Nusantara itu. Seni tidak seharusnya bersempadan, sebab itu kami gabungkan pelakon dari rantau ini untuk dapatkan ‘feel’ yang lebih autentik,” katanya.
Barisan pelakon filem ini termasuk Beto Kusyairy, Nabila Huda dan Syafie Naswip, selain Sandra Lim dan pelakon aksi dari Indonesia, Yayan Ruhian.

Turut mencuri perhatian ialah pelakon berasal dari Amerika Syarikat, Bobby Tonelli yang membawa watak pegawai polis British, sekali gus menambah dimensi konflik kuasa dalam latar penjajahan Tanah Melayu.
Menurut Bobby, wataknya memberi ruang untuk melihat bagaimana kuasa kolonial tidak bersifat hitam putih, sebaliknya turut melibatkan proses asimilasi dengan budaya tempatan.
“Walaupun watak saya sebagai seorang pegawai British dengan kuasa dalam era penjajahan, watak ini turut menunjukkan sisi asimilasi dengan budaya tempatan.

“Itu yang menarik bagi saya, ada keseimbangan yang boleh diterokai dengan lebih mendalam dan sebagai orang luar yang tinggal di Asia, aspek asimilasi ini sangat dekat dengan saya,” katanya.
Filem itu dijadual ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 9 April ini.
