KUALA KANGSAR – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) akan memperkenalkan tiga varieti baharu durian dalam tempoh dua tahun akan datang dalam usaha membuka peluang komersial yang lebih luas dalam industri pertanian negara, khususnya tanaman durian yang semakin mendapat permintaan tinggi di pasaran domestik dan antarabangsa.
Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, varieti baharu tersebut sedang dalam proses penilaian dan kajian bagi memastikan kesesuaian lokasi penanaman, termasuk di beberapa kawasan yang berpotensi tinggi seperti Jerangau di Terengganu dan Kuala Kangsar, Perak.
“Dalam produk akan datang, terdapat tiga varieti yang akan diketengahkan, antaranya di Jerangau dan Kuala Kangsar. Namun begitu, kod rasmi bagi varieti ini masih belum ditentukan. Kami perlu melihat dahulu bagaimana prestasi varieti ini di lokasi berbeza.
“Mungkin selepas pelancaran nanti, kita akan memperkenalkan nama tertentu yang lebih sesuai dan menarik untuk varieti tersebut,” katanya kepada pemberita semasa lawatan media ke program Duriotourism MARDI di Kuala Kangsar, Sabtu lalu.

MS88 Bakal Diberi Nama Komersial
Dalam perkembangan berkaitan, MARDI turut merancang untuk menjenamakan semula varieti durian hibrid MARDI Super 88 atau lebih dikenali sebagai MS88 dengan nama yang lebih komersial bagi menarik perhatian pasaran dan pengguna.
“Bagi MS88, kita ingin mencuba juga untuk menukar nama kepada sesuatu yang lebih menarik dan ‘catchy’. Sekarang ini terdapat pelbagai nama pasaran seperti Tupai King yang sebenarnya berasal daripada varieti lama.
“Musang King contohnya berasal daripada varieti D197, namun dinamakan semula untuk tujuan penjenamaan yang berjaya menarik perhatian pengguna. Jadi, kita cuba mencari pendekatan serupa untuk MS88,” katanya.
Tambah beliau, sebanyak 13,000 pokok durian MS88 telah ditanam di seluruh negara dan MARDI memantau sepenuhnya perkembangan pokok-pokok ini.
“Setakat ini, ada pokok yang telah mencapai usia dua hingga tiga tahun. Dalam tempoh lima hingga enam tahun akan datang, hasilnya dijangka boleh dipasarkan secara meluas,” ujarnya.
MARDI juga sedang mengenal pasti pengusaha atau syarikat yang berpotensi untuk dijadikan pusat pengumpulan hasil daripada penanam-penanam durian MS88, sebagai persediaan untuk tujuan pemasaran dan eksport pada masa akan datang.
Durian MS88 merupakan hasil daripada proses penghibridan yang dilakukan oleh MARDI dan memiliki kelebihan tersendiri. Ia terkenal dengan rasa manis, tekstur berkrim, dan daya tahan penyakit yang tinggi, menjadikannya setanding dengan varieti premium lain seperti Musang King dan Black Thorn.

Usaha MARDI ini dilihat sebagai satu langkah strategik dalam memperkukuh industri durian negara serta menambah nilai kepada hasil pertanian tempatan melalui penyelidikan dan inovasi varieti baharu.
Terdahulu, MARDI menyasarkan untuk menanam 219 jenis durian di kawasan seluas 21 hektar, di Taman Agro Durio Tourism Mardi Kuala Kangsar.
Sasaran itu selaras dengan peranan Mardi Kuala Kangsar yang berfungsi sebagai stesen sokongan penyelidikan, pembangunan dan pemindahan teknologi bagi buah-buahan khususnya durian.
Setakat ini, stesen terbabit mempunyai pelbagai durian klon iaitu D2, D6, D7, MDUR 78, 79 88, D176, D133 dan lain-lain durian premium yang terdapat di pasaran.
Mardi Kuala Kangsar menganjurkan pakej Duriotourism@Mardi Kuala Kangsar, bermula 9 hingga 29 Julai bagi orang ramai menikmati durian premium hasil penyelidikan institut tersebut.
