Pulau Tioman, Pahang – Dalam usaha memelihara khazanah marin negara, Berjaya Tioman Resort tampil menyokong penuh projek pemuliharaan penyu yang diusahakan oleh penduduk tempatan di Pulau Tioman. Inisiatif ini bukan sahaja mencerminkan komitmen terhadap alam sekitar, malah turut memainkan peranan penting dalam menyedarkan masyarakat tentang kepentingan melindungi spesies yang semakin terancam ini.
Menurut Penolong Pengurus Besar Unit Komunikasi dan Kelestarian Berjaya Land Berhad, Mohamed Syairoz Mohd. Odmant, sokongan terhadap program ini selaras dengan nilai korporat resort dalam melaksanakan tanggungjawab sosial dan pemuliharaan alam semula jadi.

“Usaha yang dilakukan ini menepati konsep kami terhadap tanggungjawab kepada alam sekitar. Malah, ia secara tidak langsung turut memberi kesedaran kepada orang kampung dan tetamu mengapa usaha terhadap pemuliharaan marin, terutama penyu, sangat penting bagi Pulau Tioman,” jelasnya.
Pemilik tapak pemuliharaan penyu (Campsite Sekuci), Mohd Don Mustapha yang terlibat secara langsung dalam inisiatif ini, berkongsi pengalaman dan keprihatinannya terhadap penurunan drastik populasi penyu sejak beberapa dekad lalu.
“Waktu kecil, apabila tiba musim penyu bertelur, saya boleh melihat ratusan ibu penyu yang datang ke Pulau Tioman untuk bertelur. Namun hari ini, hanya dua ke tiga ekor sahaja yang datang bertelur dalam tempoh setahun,” katanya.


Keprihatinan ini mendorong Mohd Don memulakan usaha pemuliharaan secara sukarela. Dengan berbekalkan semangat cinta terhadap Pulau Tioman dan keinginan untuk memastikan penyu terus wujud di perairan ini, mereka mengambil inisiatif membina pondok penetasan telur penyu di kawasan kampung.
Menurut beliau, anak penyu yang baru menetas lazimnya mempunyai kadar kelangsungan hidup yang sangat rendah kerana terdedah kepada pelbagai pemangsa sebaik sahaja dilepaskan ke laut.
“Tiada lain yang saya harapkan dari usaha ini, cuma kasih sayang sahaja, setiap kali melihat penyu-penyu ini wujud perasaan sayang kepada hidupan ini. Saya nak generasi selepas ini masih dapat melihat penyu dan menjaga spesis ini dengan baik.
“Alhamdulillah, kami mendapat kebenaran daripada Exco Pahang untuk menjaga telur penyu dan anak penyu yang menetas sehingga berusia tiga ke empat bulan sebelum dilepaskan ke laut. Usaha ini untuk memastikan anak penyu terjaga rapi, selamat dan cukup matang untuk dilepaskan,” ujarnya.
Inisiatif ini telah menarik perhatian ramai pelawat dan pelancong yang menginap di Berjaya Tioman Resort, sekaligus memberi peluang kepada mereka untuk melihat secara langsung proses pemeliharaan penyu. Ia juga menjadi platform pendidikan alam sekitar kepada generasi muda dan pengunjung yang datang ke pulau ini.

Dengan sokongan berterusan daripada sektor pelancongan, kerajaan negeri, dan komuniti tempatan, diharapkan usaha pemuliharaan ini mampu memulihkan semula populasi penyu dan memastikan ekosistem marin Pulau Tioman kekal lestari untuk generasi akan datang.
Berjaya Tioman Resort juga mengambil peluang menyokong usaha murni ini dengan menyumbang barangan asas dan makanan penyu kepada tapak pemuliharaan penyu.
