SAYLEAD2025-387

Shah Alam – Penyertaan dalam program keusahawanan digital bukan sahaja membuka peluang baharu kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU), malah berjaya mengubah landskap perniagaan mereka. Itulah yang dibuktikan menerusi Liga Usahawan OKU Selangor (SAY LEAD) anjuran Selangor Youth Community (SAY), yang kini memasuki edisi keenam.

Program ini telah menjadi pemangkin kepada ramai peserta OKU dalam memanfaatkan teknologi digital, khususnya dalam aspek pemasaran media sosial dan penjenamaan. Salah seorang daripadanya ialah Nur Sabrina Md Salleh, 30, yang mengusahakan perniagaan pemanis mulut.

“Sebelum ini saya tidak tahu apa-apa tentang dunia perniagaan, apatah lagi strategi digital. Tapi melalui SAY LEAD, saya belajar tentang media sosial, membina kepercayaan pelanggan dan mengurus kewangan asas.
Hasilnya, jualan saya meningkat 60 peratus,” katanya dalam bahasa isyarat dengan bantuan jurubahasa ketika ditemui di Hotel Sunway Resort, semalam.

Transformasi digital turut dialami Norhaiza Selamat, 45, yang merupakan usahawan kraftangan serta OKU pendengaran. Beliau mengakui bahawa sebelum menyertai SAY LEAD, beliau tidak mahir dalam menghasilkan kandungan TikTok dan kurang yakin untuk tampil di media sosial.

“Sekarang saya mampu buat ‘live’ sendiri, bina ayat yang berkesan dan hasilkan konten menarik menggunakan alat seperti ChatGPT dan Canva. Ini semua hasil ilmu daripada kelas-kelas SAY LEAD,” jelasnya.

SAY LEAD edisi keenam yang bermula pada Mei lalu, menghimpunkan 30 peserta dari pelbagai cabang perniagaan yang diberi pendedahan komprehensif dalam modul keusahawanan termasuk:

  • Profil keusahawanan dan model perniagaan kanvas
  • Rancangan perniagaan dan strategi penjenamaan
  • Pendigitalan pemasaran serta pengurusan kewangan asas

Para peserta turut menyertai sesi bengkel, pembentangan rancangan perniagaan serta sesi interaktif bersama agensi keusahawanan bagi memperkukuh daya saing mereka.

Kemuncak program menyaksikan keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, yang berkenan merasmikan pusingan akhir dan menobatkan tiga ikon usahawan OKU Selangor.

  • Juara: Nur Sabrina Md Salleh (pemanis mulut / OKU pendengaran)
  • Naib Juara: Norhaiza Selamat (kraftangan / OKU pendengaran)
  • Tempat Ketiga: Azura Othman (sambal / OKU fizikal)

DYTM Raja Muda turut melawat reruai pameran peserta dan berinteraksi bersama mereka, memberi dorongan agar terus maju dalam bidang keusahawanan meskipun berdepan kekangan fizikal.

SAY LEAD terus membuktikan bahawa dengan bimbingan strategik dan penggunaan teknologi digital, usahawan OKU mampu berdiri setanding dengan pemain industri lain, malah mencipta kejayaan tersendiri.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading