Kuala Lumpur – Usaha GGR Motor untuk muncul sebagai pengeluar motosikal elektrik (EV) pertama Malaysia menerima suntikan semangat baharu apabila Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan memberi sokongan penuh terhadap inisiatif tersebut.
Seramai 25 anggota JPJ yang diketuai Timbalan Pengarahnya, Eric Jusiang, mengadakan lawatan kerja ke kilang GGR Legacy (M) Sdn Bhd di Kampung Sungai Penchala, Khamis lalu. Lawatan itu bertujuan memberi pendedahan lebih dekat mengenai proses pemasangan motosikal EV serta meninjau operasi pengeluaran di fasiliti berkenaan.

Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Mussaddiq Mohamed Azmi, berkata lawatan rasmi itu menjadi titik permulaan penting dalam memastikan pengeluaran motosikal EV mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan piawaian yang ditetapkan kerajaan.
“Kami amat berbangga dengan kesudian pihak JPJ WP melawat kilang kami. Ia bukan sahaja satu penghargaan, malah bukti komitmen bersama untuk menjadikan motosikal EV buatan tempatan diterima secara meluas di Malaysia,” katanya.
Ketibaan rombongan JPJ disambut oleh Pengerusi GGR Motor, Tengku Syarif Temenggong Perlis, Datuk Seri Diraja Syed Amir Abidin Jamalullail, bersama Muhammad Mussaddiq. Delegasi turut dibawa melawat bangunan jualan aksesori, bengkel servis serta bahagian operasi lain yang menyokong ekosistem kenderaan elektrik syarikat.
Dalam perkembangan berkaitan, Mussaddiq mengumumkan bahawa geran dan nombor pendaftaran model sulung motosikal EV Lion G1 kini boleh didaftarkan secara rasmi melalui sistem JPJ mulai 1 September lalu.
“Lebih 6,000 unit tempahan sedia untuk diserahkan kepada pemilik dalam masa terdekat,” jelasnya sambil menambah bahawa Lion G1 dibangunkan sepenuhnya melalui penyelidikan tempatan dengan fokus kepada harga mampu milik dan mesra alam.
Permintaan Tinggi, Kilang Baharu Dirancang
GGR Motor sebelum ini menyasarkan pengeluaran sehingga 30,000 unit menjelang akhir 2025, selari dengan pertumbuhan permintaan mobiliti elektrik di Malaysia. Sambutan luar biasa terhadap Lion G1 dengan lebih 2,500 tempahan diterima hanya seminggu selepas pelancaran Julai lalu jelas menunjukkan penerimaan positif rakyat Malaysia terhadap EV.

Bagi memenuhi permintaan, syarikat merancang membina kilang pemasangan baharu di utara Semenanjung di atas tapak seluas lebih satu ekar. Fasiliti itu bakal menjadi hab pengeluaran utama bagi Lion G1 serta beberapa model baharu pada masa depan, sekali gus menjana lebih 50 peluang pekerjaan baharu dalam bidang teknologi hijau dan automotif elektrik.
Inisiatif ini turut diperkukuh melalui kerjasama strategik bersama PMH Motor, Bateriku.com, Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta Petronas Lubricants Marketing Malaysia (PLMM), meliputi latihan teknikal, penyelenggaraan dan rantaian bekalan.
Dengan sokongan berterusan kerajaan dan kerjasama pelbagai pihak, GGR Motor yakin langkah ini akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pengeluaran motosikal elektrik di rantau ASEAN.
