IMG_20250923_093128_127

KUALA LUMPUR – Dua penyanyi ternama dari Malaysia dan Indonesia, Eira Syazira dan Nabila Maharani, kini tampil bersama dalam single terbaru berjudul Bawang Merah. Lagu bergenre pop ini sepenuhnya dikarang oleh Trisuaka, manakala susunan muzik dikendalikan oleh Ardy Goliath.

Rakaman lagu ini dijalankan di Studio Trisna Music, Jogjakarta, menandakan sebuah kolaborasi rentas sempadan yang menggabungkan kepakaran dari kedua-dua negara. Video muziknya juga dirakam di Jogjakarta dan menampilkan naratif dongeng klasik Bawang Merah Bawang Putih. Ia mengisahkan watak Bawang Putih yang selalu diperlakukan tidak adil oleh ibu dan adik tirinya, sebelum muncul seorang putera yang muncul sebagai penyelamat.

Menurut Eira Syazira, tujuan kolaborasi ini bukan sekadar untuk meraih populariti, tetapi lebih kepada usaha memperluaskan karya seni ke dua negara serumpun. “Kita bukan menunggang populariti. Ini adalah peluang untuk kita berkongsi sesuatu dengan peminat. Di Malaysia, nama Nabila mungkin masih baharu, jadi melalui projek Bawang Merah Bawang Putih ini, insya-Allah ia akan membuka ruang buatnya dikenali, sementara saya pula dapat menambah warna baharu dalam kerjaya seni saya,” kata Eira.

Bagi Nabila Maharani pula, kolaborasi ini dianggap sebagai suatu penghargaan dan bukti bahawa muzik mampu menyatukan Malaysia dan Indonesia. Beliau berkata:

“Bisa menjadi kolaborasi antara dua negara itu luar biasa. Bukan sahaja dapat menghiburkan ramai orang di Indonesia dan Malaysia, tetapi juga menampilkan karya yang benar-benar ikhlas untuk peminat.” jelasnya.

Nabila juga berharap kerjasama ini akan memberi impak yang lebih luas di zaman digital. “Kolaborasi antara Malaysia dan Indonesia seperti ini benar-benar boleh menginspirasi banyak orang. Dengan adanya platform media sosial, saya percaya lagu Bawang Merah Bawang Putih akan semakin dikenali dan didengari oleh khalayak yang lebih besar,” katanya.

Projek Bawang Merah bukan sahaja menyatukan suara dua bintang wanita dari Malaysia dan Indonesia, tetapi juga simbol persahabatan, warisan budaya serumpun, dan jalinan seni merentas sempadan.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading