Piano Land Cruise

Pualau Pinang – Selaras dengan usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pelayaran serantau yang terkemuka, Hwajing Travel & Tours Sdn Bhd secara rasmi menjalin kerjasama strategik dengan Astro Ocean Cruise bagi membawa kapal persiaran M/V Piano Land ke Malaysia. Kerjasama ini bakal menyaksikan pelayaran sulung M/V Piano Land pada November 2025 dan menjadi kapal persiaran China yang pertama berpengkalan di Malaysia. Ini menjadi kerjasama pelayaran antarabangsa yang kedua Hwajing selepas kejayaan pengoperasian kapal persiaran Itali tahun lalu.

Jadual pelayaran akan merangkumi pelayaran selama 3 hari 2 malam (Pulau Pinang – Pelabuhan Klang – Pulau Pinang) dan pelayaran 4 hari 3 malam yang meliputi Pulau Pinang, Langkawi dan Pelabuhan Klang. Penumpang boleh menikmati pelayaran dari Pulau Pinang atau Pelabuhan Klang yang memudahkan akses kepada pelancong Malaysia dan juga serantau.

Majlis memeterai perjanjian yang berlangsung di Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang ditandatangani oleh Kenny Cheong, Pengarah Urusan Hwajing Travel & Tours dan Jian-feng Tong, Naib Presiden Astro Ocean Cruise dan disaksikan oleh Dato’ Yeoh Soon Hin, Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang dan Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia.

“Selaras dengan visi oleh Menteri Pengangkutan YB Anthony Loke untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pangkalan utama kapal persiaran, kami komited untuk memacu agenda pelancongan negara,” kata Dato’ Yeoh. “Dengan menggalakkan pelancong memulakan dan menamatkan pelayaran di Malaysia, kami menyasarkan peningkatan jumlah pelancong, mewujudkan peluang pekerjaan dan mengetengahkan budaya, warisan serta masakan Malaysia di pentas antarabangsa. Dengan strategi yang tepat, pelancongan pelayaran kapal persiaran berpotensi besar untuk memberikan manfaat ekonomi berterusan dan memperkasa komuniti di seluruh negara.”


“Ketibaan M/V Piano Land ke Malaysia mengukuhkan komitmen kami untuk menjadikan percutian pelayaran lebih mudah diakses dan dinikmati oleh pelancong Malaysia dan Asia Tenggara. Pencapaian ini juga amat bermakna kepada kami, bersempena sambutan ulang tahun ke-36 Hwajing pada tahun ini. Kami berhasrat untuk memainkan peranan penting dalam membangunkan Malaysia sebagai hab dan pangkalan yang berkembang pesat untuk kapal pelayaran antarabangsa,” tambah Cheong.

Pengoperasian M/V Piano Land dijangka merangsang pelancongan, melonjakkan ekonomi tempatan dan menawarkan akses percutian kapal persiaran yang lebih lancar untuk rakyat Malaysia serta pasaran serantau.

Tentang M/V Piano Land

M/V Piano Land merupakan kapal persiaran utama yang pertama dioperasikan oleh Astro Ocean Cruise, sebuah syarikat pelayaran China yang ditubuhkan dengan visi untuk memenuhi keperluan dan jangkaan pelancong Asia. Dengan rekaan khas bagi pasaran serantau, kapal persiaran ala resort terapung ini menggabungkan keanggunan pelayaranmoden yang selesa dan menerapkan budaya Asia, dengan tawaran pengalaman dan pelayaran yang indah dan lancar.

Dengan berat kasar sekitar 70,000 tan dan kapasiti 1,760 penumpang, M/V Piano Land menampilkan

  • 880 kabin lengkap
  • Pilihan makanan halal, masakan Cina dan antarabangsa
  • Persembahan teater ala Broadway dan hiburan pelbagai budaya
  • Arked membeli-belah, pusat kesihatan dan kemudahan rekreasi
  • Kelab kanak-kanak dan program mesra keluarga
  • Kemudahan serba lengkap termasuk pusat kecergasan, spa dan kolam renang

Jadual Pelayaran:

  • 30 November 2025 – 3H2M Pulau Pinang – Pelabuhan Klang – Pulau Pinang (Ahad)
  • 02 Disember 2025 – 3H2M Pulau Pinang – Pelabuhan Klang – Pulau Pinang (Selasa)
  • 04 Disember 2025 – 3H2M Pulau Pinang – Pelabuhan Klang – Pulau Pinang (Khamis)
  • 06 Disember 2025 – 3H2M Pulau Pinang – Pelabuhan Klang – Pulau Pinang (Sabtu)
  • 11 Disember 2025 – 3H2M Pulau Pinang – Pelabuhan Klang – Pulau Pinang (Khamis)
  • 08 Disember 2025 – 4H3M Pulau Pinang – Langkawi – Pelabuhan Klang – Pulau Pinang (Isnin)
  • 13 Disember 2025 – 4H3M Pulau Pinang – Langkawi – Pelabuhan Klang – Pulau Pinang (Sabtu)

Selain daripada jadual pelayaran biasa, Hwajing juga akan menawarkan pelayaran khas Detik Sambutan Tahun Baharu, yang akan berlayar dari Port Klang ke Singapura, Nha Trang dan Hong Kong selama 6 malam. Para tetamu akan menyaksikan sambutan penuh meriah dari atas kapal persiaran, yang akan diakhiri dengan pertunjukan warna-warni bunga api ketika detik sambutan tahun 2026 yang berlangsung dari panorama ikonik Hong Kong. Pelayaran istimewa ini menawarkan keunikan tersendiri untuk tetamu menyambut tahun baru bersama keluarga dan rakan-rakan yang dihidang dengan pelbagai hiburan bertaraf dunia, sajian kulinari yang hebat dan keajaiban pelayaran.

“Penempatan M/V Piano Land adalah pencapaian penting kami dalam pelan pengembangan strategik syarikat di Asia. Kami percaya model ‘budaya dan pelayaran’ yang unik ini akan merangsang permintaan pelancongan kapal persiaran di Malaysia dan pasaran sekitarnya,” kata Tong.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading