KUALA LUMPUR – Ratusan individu, termasuk syarikat korporat dan agensi kerajaan, dilaporkan menjadi mangsa skim pelaburan palsu yang didalangi seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Wira, dengan jumlah kerugian hampir RM1 bilion.
Ahli perniagaan terbabit kini sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui Op Fibre yang dijalankan oleh Bahagian Operasi Khas (BOK) atas dakwaan pengubahan wang haram bernilai kira-kira RM75 juta.
Pengerusi Kumpulan Tindakan MaPeR, Shah Abdul Malek, memaklumkan bahawa kes penipuan ini melibatkan pelabur warga British dan 10 pelabur tempatan yang telah membuat aduan rasmi kepada SPRM berhubung kerugian lebih RM66 juta akibat skim tersebut.
Menurut Shah, antara mangsa adalah seorang usahawan dari United Kingdom, Lee Rodger Meiklejohn, yang mengalami kerugian hampir RM60 juta. Selain itu, beberapa agensi kerajaan negeri, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sebuah persatuan kebajikan anak-anak yatim, dan sebuah institut penyelidikan Islam turut dipercayai menjadi mangsa.

Sindiket ini dipercayai menggunakan ejen yang menyamar sebagai kakitangan bank seperti AmBank dan Alliance Bank untuk menawarkan skim pelaburan runcit yang kononnya diluluskan Suruhanjaya Sekuriti dan dijamin insurans.
Malah, beberapa tokoh korporat bergelar Tan Sri turut dikaitkan sebagai ahli lembaga pengarah dan pemegang saham utama syarikat terbabit.
“Agensi kerajaan juga dipercayai terperangkap dalam penipuan ini melalui seorang bekas pegawai kanan persekutuan yang bertindak sebagai proksi kepada ahli perniagaan tersebut.
“Saya tidak tahu lagi bagaimana hendak membantu pelabur ini. Saya mempunyai senarai lebih 300 pelabur yang mungkin wang pelaburan mereka terjejas, termasuk aset daripada beberapa syarikat berkaitan kerajaan.
“Apa yang pelabur ini tidak sedari ialah syarikat yang dikaitkan dengan individu itu tidak mempunyai perniagaan yang sah.

“Saya percaya semua hasil haram itu hanya disalurkan ke poket dia sendiri. Dia bukan ahli perniagaan dan tidak tahu menguruskan perniagaan lain selain menipu pelabur,” katanya.
Sementara itu, Lee Meiklejohn yang menjadi mangsa sejak Oktober 2010 hingga April 2011 memberitahu bahawa walaupun telah membuat pelbagai susulan dan mengemukakan dokumen sokongan, kesnya masih belum menunjukkan perkembangan yang signifikan.
“Saya diperkenalkan dengan peluang pelaburan ini oleh seorang broker di Edinburgh pada Ogos 2010. Namun, maklumat yang diberikan kemudiannya didapati palsu dan mengelirukan,” katanya.
Shah Abdul Malek menggesa pelabur lain yang mungkin menjadi mangsa agar tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa untuk membantu siasatan dan memastikan keadilan dapat ditegakkan.
Sementara itu, beberapa mangsa lain turut hadir pada sidang media dan mennutut tindakan tegas diambil dalam kes ini.
