Kuala Lumpur – Nama Johan bukan lagi sekadar sinonim dengan dunia hiburan, jenaka dan radio. Hari ini, figura serba boleh itu menambah satu lagi gelaran dalam senarai panjang pencapaiannya usahawan motosikal elektrik (EV).
Di bawah syarikatnya Hanania Group Sdn. Bhd., Johan kini meneroka cabang perniagaan baharu menerusi kerjasama bersama GGR Motor, dengan pembukaan rasmi Pusat Pameran Motosikal Elektrik GGR x Johan di Melawati Square, Kuala Lumpur.

Langkah ini bukan sekadar perniagaan, tetapi simbol transformasi gaya hidup dan keusahawanan hijau satu usaha untuk menginspirasi generasi muda agar berani berinovasi dan menyokong mobiliti mampan.
Dari “Itik Ke Ayam?” ke Inovasi Roda Dua
Selepas berjaya dengan restoran uniknya “Itik Ke Ayam?”, Johan membuktikan bahawa cita rasa keusahawanannya tidak terhad kepada dunia kulinari. Kali ini, dia memilih automotif elektrik sebagai platform baharu untuk berkembang.
“Saya percaya masa depan pergerakan adalah hijau. Pembukaan pusat pameran ini bukan hanya tentang jual motosikal, tapi tentang memberi pilihan kepada rakyat Malaysia untuk bergerak dengan cara lebih lestari,” ujar Johan penuh semangat.
Majlis pelancaran GGR x Johan turut menyaksikan penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara GGR Motor dan Hanania Group, disaksikan sendiri oleh Khairy Jamaluddin yang turut merasmikan majlis.

Turut hadir memberi sokongan ialah YAM Tengku Syarif Temenggong Perlis, Dato’ Seri Diraja Syed Amir Abidin Jamalullail, Prof. Dr. Nizar Abd Jalil, serta Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Mussaddiq Mohamed Azmi (Dekmat).
Kerjasama ini menjadi pemangkin kepada projek eksport bersama GGR Akademi, Ram Corporation Ltd (Thailand) dan Zhejiang Huaqu International (VARCHEA), China membuka laluan baharu ke pasaran serantau.
Motosikal EV GGR – Gaya, Praktikal dan Mesra Alam
Model motosikal elektrik keluaran GGR direka untuk mereka yang mahu gaya moden tanpa mengorbankan fungsi. Ia hadir dengan tiga mod kelajuan 35km/j, 55km/j dan maksimum 70km/j sesuai untuk kegunaan bandar dan perjalanan harian.
Bateri boleh dicas penuh dalam enam jam, dan tidak memerlukan servis enjin berkala seperti motosikal konvensional. Malah, waranti sehingga 50,000 kilometer memastikan pelanggan menikmati ketenangan minda selepas pembelian.
Dari segi rekaan, ia tampil dengan enam warna menarik merah, putih, kuning, oren, biru cair dan pink, dengan tambahan biru tua dan hijau bakal diperkenalkan tidak lama lagi.
Dengan harga asal RM3,999, model ini menjadi lebih berbaloi selepas rebat kerajaan RM2,400, menjadikannya hanya RM1,569 seunit.

Rebat ini terbuka kepada rakyat berpendapatan tahunan di bawah RM100,000, dan sah hingga Disember 2025.
Tiada cukai jalan dikenakan untuk motosikal elektrik dua roda, menjadikan pemilikan EV kini lebih mudah, praktikal dan ekonomi.
Bagi Muhammad Mussaddiq (Dekmat), hubungan dengan Johan bukan sekadar urusan perniagaan. Ia berakar dari kepercayaan dan sokongan yang tulus sejak mereka mula bekerjasama hampir satu dekad lalu.
“Johan tak pernah berhenti beri semangat, walaupun saya pernah jatuh. Dia selalu kata, ‘Hang boleh buat.’ Hari ini, saya bangga kita capai kejayaan ni bersama,” kongsi Dekmat dengan penuh emosi.
Di sebalik glamor dan jenama, langkah Johan bersama GGR Motor ini membawa mesej yang lebih besar bahawa masa depan mobiliti Malaysia sedang berubah.
Sebagai selebriti yang berpengaruh, Johan menunjukkan bahawa bintang tidak hanya bersinar di pentas hiburan, tetapi juga boleh menjadi cahaya dalam perubahan industri hijau negara.
“Saya mahu bawa inspirasi kepada anak muda jangan takut mencuba. Dunia bisnes luas, dan kita boleh sama-sama bina sesuatu yang baik untuk masa depan,” tambahnya.
Dengan kehadiran GGR x Johan di Melawati, Kuala Lumpur kini menjadi sebahagian daripada peta revolusi EV tempatan. Dan bagi Johan, ini hanyalah permulaan perjalanan ke arah masa depan yang lebih hijau, pintar dan penuh tenaga positif.
