Kuala Lumpur – Penyanyi dan personaliti media sosial, Farez Adnan, baru-baru ini menarik perhatian netizen selepas meluahkan rasa kecewa terhadap segelintir kenalannya yang meminta beliau menyanyi tanpa bayaran.
Menerusi video yang dikongsikan di TikTok, Farez atau nama sebenarnya Muhd Fareezuan Adnan, 30, berkongsi kisahnya diminta membuat persembahan secara percuma walaupun nyanyian merupakan sumber pendapatannya.
“Kerja saya sebagai penyanyi. Daripada situ saya cari rezeki.
Kalau awak berniaga, saya beli makanan awak sebab nak sokong, bukan minta percuma.
Melainkan awak sendiri nak belanja, itu pun sekali dua saja,” katanya.
Menurut pelantun lagu Air Titik Ke Batu itu, beliau berharap orang ramai lebih menghormati profesion penyanyi dan memahami bahawa bakat seni juga adalah satu bentuk pekerjaan yang memerlukan usaha dan komitmen.
“Sama macam orang lain juga, saya menyanyi untuk menampung keluarga dan diri sendiri,” tambahnya lagi.
Farez turut mengakui kadangkala individu luar lebih menghargai kerja seninya berbanding kenalan sendiri yang sepatutnya lebih memahami.
“Kadang-kadang orang luar lebih menghargai kita daripada kawan sendiri,” ujarnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata peminat bersetuju dengan kenyataan penyanyi itu dan menganggap sudah tiba masanya masyarakat mengubah pandangan terhadap industri hiburan tempatan. Mereka turut memberikan kata-kata semangat kepada Farez agar terus teguh mempertahankan prinsipnya sebagai anak seni.
