Kuala Lumpur – Selepas kejayaan dalam program realiti Talk To My Manager, Hadie Suhaimi, anak kepada Allahyarham Suhaimi Saad, kini melangkah ke dunia lakonan. Beliau menerima tawaran daripada penerbit terkenal, Jaja Ishak, untuk membintangi filem pendek berjudul Antara Dua Darjat.
Namun, ibunya, Ina Naim, yang juga bekas penyanyi dan pelakon, menetapkan syarat ketat sebelum membenarkan Hadie menerima tawaran tersebut. Antara syarat utama ialah tiada babak bersentuhan atau adegan yang boleh menimbulkan fitnah. Ina menekankan pentingnya menjaga imej dan maruah keluarga dalam setiap projek yang disertai Hadie.
Ina juga menegaskan bahawa Jaja Ishak, yang merupakan sahabat lama arwah suaminya, memahami prinsip dan batasan keluarga mereka. Beliau yakin bahawa kerjasama ini akan berjalan lancar tanpa sebarang isu.
Dengan sokongan dan pengawasan ketat daripada ibunya, Hadie kini bersedia untuk meneroka dunia lakonan, sambil tetap fokus pada bidang nyanyian yang menjadi kekuatannya.
Akui Hadie, meskipun minatnya lebih kepada bidang lakonan pada mulanya, dia percaya dan sedar bakatnya lebih menyerlah dalam nyanyian.
“Saya memang suka berlakon, kadang-kadang di rumah pun saya berlakon dengan ibu. Tapi saya tahu nyanyian itu kekuatan saya. Jadi bila ada peluang berlakon, saya terima untuk mencuba,” tambahnya.
Sementara itu, Ina yang juga bekas penyanyi dan pelakon, memaklumkan selepas program realiti berkenaan tamat, rezeki anaknya terus terbuka luas apabila menerima pelbagai tawaran, termasuk daripada produksi Jaja Ishak Channel.
“Syukur, selepas program itu tamat, ada beberapa rezeki yang datang. Saya sebagai pengurus sedang menyusun jadual Hadi. Tawaran daripada Jaja Ishak Channel datang pada waktu yang tepat dan dalam filem pendek itu Hadi akan digandingkan dengan Qadejah El Zahra atau Cess, anak kepada Datuk Seri Aliff Syukri.
“Ramai di TikTok yang minta Hadi berlakon, jadi kami fokus dulu ke arah itu. Tapi saya tak terima semua tawaran secara terburu-buru. Saya nilai dulu setiap skrip dan produksi, supaya tiada babak bersentuhan atau adegan serta perkara yang boleh menimbulkan fitnah. Saya akan pastikan setiap projek sesuai dengan usia dan imej Hadi,” ujarnya.
