Sepang – Kementerian Pengangkutan (MOT) telah menerima Geran Pembangunan Logistik bernilai RM1 juta daripada China Railway Rolling Stock Corporation (CRRC) di bawah Program Kolaborasi Industri (ICP) kerajaan. Geran yang diperuntukkan kepada Pusat Logistik Negara (PLN) ini akan menyokong pembangunan kapasiti dan transformasi digital dalam sektor logistik Malaysia.
ICP adalah inisiatif kerajaan yang memastikan perolehan utama memberi nilai nasional, sekali gus mewujudkan manfaat ekonomi, teknologi dan modal insan untuk negara. Pengurusan dana ini diselia melalui Technology Depository Agency (TDA), sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan yang bertanggungjawab mengurus dan melaksanakan ICP.
Majlis penyerahan geran yang berlangsung pada 11 November 2025 sempena Transport Expo Asia (TXA) 2025, menandakan inisiatif pertama yang dipacu ICP oleh MOT, dalam sektor logistik. Majlis tersebut telah disaksikan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Di bawah geran ini, antara inisiatif utama termasuk pensijilan 18 pegawai MOT sebagai ahli Chartered Institute of Logistics and Transport, pembangunan Rangka Kerja Data Kargo Negara, serta pendigitalan Sistem Pangkalan Data MOT menggunakan teknologi Artificial Intelligence.
Usaha-usaha ini bertujuan memperkukuh tadbir urus berasaskan data, mempertingkat kemahiran tenaga kerja, serta memacu digitalasi dalam sektor logistik dan pengangkutan Malaysia.
Pada majlis yang sama, TDA turut membentangkan Laporan Analisis Impak ICP kepada MOT, yang merangkumi hasil dan nilai yang dicapai melalui pelaksanaan ICP dalam sektor pengangkutan dari tahun 2015 hingga 2025.

Laporan tersebut menyoroti kejayaan 129 projek ICP di bawah perolehan MOT, termasuk sektor rel, aeroangkasa, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta pembinaan.
Inisiatif-inisiatif ini telah menyokong pemindahan teknologi, latihan teknikal, pensijilan, dan meningkatkan daya saing syarikat tempatan dalam rantaian bekalan global. Sebagai pelaksana nasional ICP, TDA kekal komited memastikan setiap perolehan kerajaan memberi nilai mampan, membina keupayaan negara, dan mencipta impak merentas sektor.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.tda.my.
