SHAH ALAM – Engku Aleesya Engku Emran, anak tunggal selebriti Erra Fazira dan Engku Emran, memperlihatkan sisi kreatifnya dengan melancarkan sebuah buku kanak-kanak pada usianya yang baru 16 tahun. Buku berjudul Little Nina and the Virtues of Fatimah Az-Zahra mempunyai ilustrasi berwarna-warni dan menyampaikan nilai-nilai murni seperti keberanian, kebaikan dan iman.
Erra Fazira menyatakan rasa bangga mendalam terhadap pencapaian anaknya. Beliau mengakui idea Aleesya sangat kreatif dan “di luar kotak”, terutama memandangkan sifat pemalu anaknya, yang lebih suka melahirkan perasaan melalui penulisan.


Walaupun begitu, Erra memberi nasihat agar penulisan dijadikan sebagai sumber pendapatan. Beliau mahu Aleesya terus mengejar pendidikan dan membuka ruang untuk meneroka kerjaya lain seperti psikologi, veterinar atau hiburan.
Bapa Aleesya, Engku Emran, turut memberi sokongan penuh. Baginya, menulis dalam bahasa Inggeris adalah cara terbaik supaya buku tersebut mudah difahami oleh golongan kanak-kanak.

Minat Aleesya dalam dunia penulisan sudah muncul sejak kecil, Apabila dia menyatakan emosinya melalui kata-kata, ibunya melihat persamaan dengan dirinya. Erra berkongsi bahawa beliau sendiri pernah menulis sejak zaman sekolah sebelum adanya gajet.
Aleesya turut berkongsi keterujaanya dengan kanak-kanak lain dan berhasrat untuk mengeluarkan buku bahasa Inggeris lain pada masa akan datang.
“Sebenarnya, impian untuk menulis buku ini sudah timbul sejak saya masih kecil. Jadi, apabila akhirnya buku pertama saya dapat diterbitkan, semestinya sangat gembira.
“Banyak perkara yang memberi inspirasi untuk saya dalam bidang penulisan ini. Tetapi, bagi buku Little Nina and the Virtues of Fatimah Az Zahra ini disebabkan kecintaan saya terhadap haiwan terutama kucing.
“Kemudian, bapa saya memperkenalkan saya mengenai kisah Fatimah Az Zahra (anak perempuan Rasullah SAW). Jadi, saya fikir mengapa tidak untuk gabung dua cerita itu dalam satu buku,” katanya pada majlis pelancaran buku Little Nina and the Virtues of Fatimah Az Zahra di sini, hari ini.
Aleesya yang menamatkan pengajian peringkat International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) berkata, usaha penulisan buku berkenaan dilakukan dengan bantuan dan sokongan penuh ibu bapanya.
“Saya ambil masa juga untuk cari idea dan bahan cerita. Saya juga bertanya kepada ibu dan bapa mengenai idea untuk menyempurnakan buku ini. Mereka juga banyak membantu saya.

“Saya juga perlu pastikan buku ini tidak susah difahami untuk dibaca oleh kanak-kanak. Selepas ini, jika diberi peluang, saya akan teruskan dengan penulisan seterusnya.
“Buat masa ini, saya bermula dalam skala kecil terlebih dahulu kerana saya juga masih belajar, mungkin akan dikembangkan lagi pada masa akan datang,” katanya.
Buku ini diterbitkan oleh Tertib Publishing, dan cetakan awal sebanyak 1,000 naskhah sudah pun dijual hampir separuh.
Peminat dan pengikut selebriti turut memberi pujian kepada cara co-parenting yang diamalkan oleh Erra Fazira dan Engku Emran dalam menyokong bakat Aleesya. Banyak yang melihat pelancaran buku ini sebagai bukti kasih sayang dan pendidikan kreatif yang seimbang antara ibu bapa dan anak.
