KUALA LUMPUR — Filem aksi-thriller tempatan BANDUAN terus mencipta gelombang dalam industri perfileman negara apabila berjaya meraih kutipan tiket RM7 juta hanya dalam tempoh dua minggu tayangan, menjadikannya filem adaptasi Tamil pertama di Malaysia yang mencatat kutipan pecah panggung sedemikian pantas.
Lebih membanggakan, kejayaan di layar perak ini turut bergema di peringkat antarabangsa apabila BANDUAN menerima tiga pencalonan utama di Anugerah International Film Festival of Australia (IFFA) sebuah pentas tersohor dunia yang mengiktiraf karya-karya terbaik dari industri filem global.
Tiga pencalonan yang diterima antaranya; Filem Antarabangsa Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik (Dato’ Aaron Aziz), Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Datuk Rosyam Nor) dan Adaptasi Tempatan Dengan Impak Global.
BANDUAN ialah adaptasi rasmi daripada filem blockbuster Tamil Kaithi (2019), dibawakan melalui sentuhan Malaysia oleh pengarah berbakat Kroll Azry dan dibintangi aktor legenda Dato’ Aaron Aziz. Filem ini menggabungkan aksi intensif, jalan cerita penuh emosi dan naskhah adaptasi yang disuntik dengan elemen budaya tempatan — menjadikannya dekat di hati penonton Malaysia namun masih punya nilai komersial antarabangsa.

Jurucakap Number Twenty One Media, Encik Kalyana Devan, melahirkan rasa bangga atas pencapaian yang tidak disangka ini.
“Kejayaan BANDUAN adalah hasil dedikasi seluruh kru dan pelakon. Penerimaan penonton tempatan, ditambah pula pengiktirafan antarabangsa daripada IIFA, membuktikan bahawa filem Malaysia mampu berdiri megah di pentas dunia.”
Wakil Dream Warrior Pictures, Encik Kathiravan, turut menghargai sinergi kerjasama Malaysia–India yang membawa kepada pengiktirafan berprestij tersebut.
“Tiga pencalonan di IIFA adalah satu penghormatan besar dan bukti kekuatan gabungan antara visi Number Twenty One Media serta pengalaman Dream Warrior Pictures.”
Kemunculan Dato’ Aaron Aziz dalam watak utama dianggap sebagai antara persembahan paling kuat dalam kariernya. Kehebatan lakonan beliau dalam genre aksi-thriller sekali lagi mengesahkan kedudukannya sebagai ikon perfileman serantau.
Sementara itu, Datuk Rosyam Nor yang tidak pernah mengecewakan mencuri perhatian juri antarabangsa dengan lakonan pembantu yang penuh karisma dan emosi.
Dengan momentum box office yang semakin meningkat dan tumpuan antarabangsa yang bertambah, BANDUAN dijangka terus membina fenomena tersendiri dalam beberapa minggu mendatang.
