KUALA LUMPUR – AirAsia hari ini mengumumkan pembaharuan dalam polisi pakaian seragam kru kabin, yang membolehkan kru wanita mempunyai pilihan untuk memakai hijab semasa bertugas.
Katanya, pelaksanaan seragam baharu itu dijangka bermula suku pertama 2026 pada bulan Ramadan adalah bagi memperluaskan fleksibiliti dan memastikan setiap kakitangannya selesa dan yakin.
Pakaian seragam terbaharu itu masih kekal berwarna merah dengan pilihan hijab dan seluar yang direka secara profesional sama seperti yang dipakai oleh kru yang bertugas di laluan Jeddah.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group, Bo Lingam berkata, pembaharuan terkini itu memacu pertumbuhan dan pengembangan AirAsia sebagai syarikat penerbangan global dengan tenaga kerja daripada pelbagai latar belakang.
“Seragam kami sentiasa mencerminkan profesionalisme, keselamatan dan keselesaan dan evolusi ini membina asas tersebut dengan memberikan keyakinan kepada kakitangan kami selaras dengan kepercayaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu,Ketua Kru Kabin Kumpulan AirAsia Suhaila Hassan berkata, Allstars (kakitangan AirAsia) berasal dari pelbagai latar belakang, budaya dan kepercayaan.
“Polisi terkini membuktikan semangat pelbagai dan dinamik yang menjadi identiti AirAsia. Kami akan terus menerima maklum balas daripada Allstars kami dan bekerjasama rapat dengan mereka dalam reka bentuk terperinci dan pelaksanaan sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, salah satu kekuatan terbesar AirAsia sentiasa terletak pada Allstars yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan mempunya dan pelbagai pendapat.
“Apabila kru kabin kami mengetengahkan perkara ini kepada pihak pengurusan, adalah penting bagi kami untuk menilai.
“Menghormati pandangan dan kepercayaan yang berbeza bukan sahaja sebahagian daripada budaya kami, tetapi juga telah membentuk kejayaan kami sepanjang tahun. Inilah cara kami berkembang dengan berevolusi bersama berdasarkan pandangan daripada kakitangan kami,” katanya.
