Era baharu pelayaran halal: M/V Piano Land tawar percutian diyakini halal, mesra muslim

Malaysia mengorak langkah baharu dalam industri pelancongan halal dengan pelancaran M/V Piano Land, kapal persiaran mesra Muslim pertama dari negara China itu telah beroperasi secara rasmi mulai 29 November 2025 lepas.

Pelayaran sulungnya bermula dari Pelabuhan Klang, menandakan permulaan era baharu pelayaran bertaraf antarabangsa yang menepati keperluan pelancong Muslim.

Kapal ini bukan sahaja menampilkan kemudahan premium, malah dibangunkan berasaskan prinsip syariah merangkumi penyediaan makanan halal sepenuhnya, kemudahan ibadah serta suasana hiburan yang dipilih dengan teliti agar sesuai untuk seisi keluarga.

Pengarah Urusan Hwajing Travel & Tours, Kenny Cheong

Menurut Pengarah Urusan Hwajing Travel & Tours, Kenny Cheong, M/V Piano Land direka dengan pertimbangan menyeluruh untuk memastikan keselesaan dan ketenangan penumpang Muslim. Salah satu restoran dan dapur di atas kapal ini beroperasi dengan piawaian halal, menyediakan hidangan mewah ala hotel 5 bintang tanpa sebarang keraguan terhadap status pemakanan.

“Kafe Lido telah mendapat sijil sertu dari JAKIM dan disahkan bersih, diyakini dari segi penyediaan makanan halal, cara masak dan juga kami memilih pembekal bahan mentah yang memiliki sijil halal yang sah.

“Kapal ini tidak mempunyai kasino, bermakna tiada aktiviti perjudian. Fokus kami adalah bersesuaian untuk percutian keluarga lebih-lebih lagi untuk pelancong muslim.

Kafe Lido

Selain itu, kapal ini juga terdapat kafe lain yang sesuai bagi bukan muslim. Seleksi bar dan lounge menyediakan pilihan minuman alternatif lain.

Jelasnya lagi, Setiap ruang rekreasi seperti kolam renang, pusat permainan kanak-kanak, perpustakaan mini, panggung teater, panggung wayang, ruang membeli-belah, dan spa merupakan ‘spot’ yang sesuai untuk seisi keluarga pelbagai peringkat umur.

Untuk memudahkan ibadah, ruang solat yang luas disediakan, lengkap dengan arah kiblat dan pengumuman waktu solat. Pendekatan ini meletakkan M/V Piano Land dalam kelas tersendiri sebagai kapal cruise yang benar-benar memahami kehendak pelancong Muslim.

Kemudahan Lengkap Untuk Keluarga & Pelbagai Golongan

M/V Piano Land mempunyai lebih 880 kabin merentasi 10 dek, menjadikannya sesuai untuk keluarga besar, pasangan pengantin baharu, kumpulan korporat mahupun pengembara solo.

Antara itinerari awal yang ditawarkan termasuk:

  • 3 hari 2 malam: Pelabuhan Klang – Pulau Pinang – Pelabuhan Klang
  • 4 hari 3 malam: Pelabuhan Klang – Pulau Pinang – Langkawi – Pelabuhan Klang

Pakej ini memberi peluang kepada penumpang menikmati destinasi tempatan sambil merasai pengalaman percutian atas laut yang selesa dan bebas daripada gangguan unsur tidak sesuai.

Pelancaran kapal mesra Muslim ini dilihat sebagai perkembangan positif bagi industri pelancongan negara. Malaysia selama ini dikenali sebagai destinasi Muslim-friendly terkemuka di dunia, namun segmen pelayaran belum memiliki tawaran yang benar-benar menepati kehendak pelancong Muslim.

Dengan kehadiran M/V Piano Land, Malaysia kini berpotensi menjadi hab pelancongan halal yang bukan sahaja kukuh di daratan, tetapi turut melibatkan sektor maritim. Ia memberi alternatif yang selamat dan terjamin untuk keluarga yang mahu bercuti tanpa perlu bimbang tentang makanan, suasana sosial atau kemudahan ibadah.

Kapal M/V Piano Land yang memasuki usia 30 tahun ini mampu mencipta sejarah sebagai kapal pertama yang menggabungkan kemewahan sebuah cruise antarabangsa dengan prinsip halal yang menyeluruh. Kehadirannya membuka lebih banyak peluang, bukan sahaja kepada pelancong Muslim tetapi juga kepada industri pelancongan negara yang semakin berkembang.

Dengan gabungan hiburan sihat, makanan premium, pengurusan perjalanan yang teratur serta konsep percutian diyakini halal, M/V Piano Land dilihat bakal menjadi penanda aras baharu untuk pelayaran mesra muslim dan sesuai seisi keluarga di rantau ini.

Menjadi Pemangkin Kepada Industri Pelancongan Halal

Bayangkan bersantai di atas dek kapal dan menghayati panorama lautan luas memang kedengaran cukup mengujakan.

Namun buat pelancong Muslim, pengalaman itu sering menjadi cabaran kerana kebanyakan kapal persiaran terkenal dengan hidangan tidak mempunyai status halal dan sajian alkohol.

Inisiatif ini bukan sekadar memberi peluang kepada pelancong Muslim menikmati pelayaran serantau tanpa rasa was-was tetapi memperkukuh pelancongan ‘mesra Muslim’ serta membina reputasi sebagai hab pelayaran utama Asia Tenggara.

Menariknya, kakitangan kapal turut dilatih dalam aspek kepekaan budaya dan mengikut keperluan Muslim.

Tambah Kenny, Hwajing Travel & Tours turut mengalu-alukan jika ada penganjur yang berminat menganjurkan percutian islamik diatas kapal ini.

“Kita terbuka untuk percutian islamik dimana para pelancong boleh melakukan aktiviti keagamaan seperti solat diatas dek paling atas sambil menikmati keindahan laut.

“Lebih istimewa, segala bentuk hiburan di atas kapal pula akan disusun selaras nilai dan etika Islam manakala jadual pelayaran direka rapi bagi memastikan waktu solat tidak terjejas” ujarnya lagi.

Kapal ini mampu menampung sekitar 2,000 penumpang dan bakal menjadi mercu pelayaran mesra muslim pertama di Malaysia.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading