11

Penerbit Kalyana Devan tidak menyangka kemenangan besar yang diraih filem Banduan selepas dinobatkan sebagai Filem Terbaik Antarabangsa di International Film Festival of Australia (IFFA) 2025 pada Sabtu.

Menurut Kalyana, pengiktirafan itu membuktikan segala usaha keras mereka akhirnya membuahkan hasil, sekali gus membuatkannya lebih bersemangat menantikan perkembangan filem tempatan menjelang 2026.

“Sudah sebulan sejak kami keluarkan Banduan. Kami tak sangka boleh menang. Saya sangat teruja. Datuk Rosyam Nor turut memenangi Pelakon Pembantu Terbaik.

“Saya rasa filem Malaysia semakin dikenali. Saya tak sabar untuk tahun 2026 untuk semua filem Malaysia.

“Semua usaha keras kami berbaloi bila ia diiktiraf. Ini betul-betul kerja berpasukan dan bila nampak hasilnya, kami sangat gembira,” katanya.

Bagaimanapun, kejayaan Banduan turut memberi sedikit tekanan kepada Kalyana untuk memastikan karya seterusnya mampu memenuhi jangkaan penonton.

“Saya akui sedikit tertekan untuk menghasilkan karya yang lebih baik. Selepas menang, ramai mula datang dan harapkan kami terus maju dan cuba benda baharu,” ujarnya.

Jelasnya, industri perfileman Malaysia kini semakin diberi perhatian, dan sudah tiba masanya lebih banyak karya tempatan menembusi pasaran antarabangsa.

“Saya rasa kita perlu tembus pasaran global kerana orang ramai mula memberi tumpuan pada filem Malaysia dan saya rasa kita perlu buat lebih banyak filem aksi dan seram,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, Kalyana memaklumkan bahawa mereka belum merancang projek baharu buat masa ini namun sedang menilai beberapa potensi kerjasama dengan pihak luar, terutamanya dari India.

“Kami belum rancang projek baharu sekarang, tapi kami pertimbangkan kolaborasi pada 2026. Kemungkinan akan lebih banyak kolaborasi bersama negara India.

“Apabila selesai sahaja Banduan, baru kami gerak ke projek seterusnya,” jelasnya.

Tambahnya lagi, kehadiran pelakon India terkenal, Karthi pada malam anugerah itu turut menarik perhatian ramai, dan Kalyana menjelaskan bahawa beliau hadir sebagai tanda sokongan terhadap filem adaptasi tersebut.

“Karthi ada bersama kami ketika anugerah itu sebab ini adalah adaptasi daripada Kaithi. Jadi dia hadir untuk tunjukkan sokongan.

“Adaptasi semula dalam industri India memang biasa, tapi di luar India sangat jarang, mungkin pertama atau kedua kali.

“Mereka nampak Banduan sebagai peluang baharu,” katanya lagi.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading