KUALA LUMPUR – Malaysia berjaya mempertahankan gelaran juara dunia bagi judul permainan Mobile Legends Bang Bang (MLBB) pada Kejohanan Dunia IESF (WEC 2025) yang berlangsung di Kuala Lumpur.
Pada aksi grand final yang turut disaksikan sendiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi itu, Malaysia cemerlang merakam kemenangan bersih 3-0 mengatasi Kemboja.
‘Game’ pertama, pertarungan sengit sudah disajikan kedua-dua pasukan, saling berbalas serangan untuk mendapatkan penguasaan.
Dan kelebihan mula memihak Kemboja terutamanya menerusi Vane Dane (Wadu) yang mengawal hero ‘Phoveus’.
Ketika Kemboja cuba menyerang, Malaysia mengatur strategi baik, berjaya mematahkan percubaan lawan sebelum mula membuat kebangkitan.
Berjaya mendapatkan ‘lord’, serangan balas Malaysia sukar disekat Kemboja sebelum skuad negara mengunci kemenangan pertama, menamatkan pertarungan yang berlangsung selama 22 minit.
‘Game’ kedua, penguasaan awal sekali lagi disajikan Kemboja di awal permainan terutamanya menerusi Nhem Chandavan (Detective) yang menggunakan hero ‘Lancelot’.
Kali ini, Malaysia tidak mahu memberikan ruang lama, kembali bangkit dengan serangan balas.
Gandingan Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman (Sekys) dan Idreen Abdul Jamal (Momo) masing-masing dengan hero ‘Hayabusa’ dan ‘Helcurt’ menyaksikan kemenangan kedua diraih Malaysia dalam tempoh 18 minit.
Memasuki ‘game’ ketiga, aksi lebih kemas disajikan Malaysia, kali ini, Sekys dengan hero ‘Yi Sun-Shin’ beraksi cukup cemerlang, menyukarkan usaha Kemboja untuk bangkit.
Dan gelaran juara akhirnya sah menjadi milik Malaysia sebaik menutup aksi dalam tempoh 17 minit, melengkapkan kemenangan 3-0 ke atas Kemboja.
Kejayaan ini turut menyaksikan Malaysia berjaya mempertahankan kejuaraan buat kali kedua berturut-turut selepas turut menjulang trofi edisi lalu di Riyadh, Arab Saudi.
