Kuala Lumpur – Filem animasi Papa Zola The Movie mencipta kejutan apabila berjaya mengutip RM10 juta hanya dalam tempoh empat hari tayangan, sekali gus membuktikan penerimaan luar biasa penonton terhadap karya animasi tempatan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif MONSTA, Nizam Abd Razak berkata, kejayaan tersebut amat di luar jangkaan memandangkan Papa Zola The Movie merupakan filem animasi pertama yang menampilkan watak ikonik berkenaan di layar perak.
“Terima kasih kepada semua yang sudah menonton. Sebagai filem animasi pertama Papa Zola, ini merupakan satu kejutan besar buat kami. Kami tidak sangka Papa Zola The Movie mendapat tempat di hati penonton,” katanya.
Papa Zola The Movie ialah filem animasi terbitan Monsta Studio dengan kerjasama Astro Shaw yang mengangkat tema pengorbanan seorang bapa demi kebahagiaan keluarga. Filem ini menampilkan gabungan elemen komedi dan emosi yang menyentuh perasaan, khususnya dari sudut pandang seorang bapa yang sanggup melakukan apa sahaja demi insan tersayang.
