KUALA LUMPUR – Tourism Malaysia merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Xiamen Airlines atas kejayaan menyambung semula perkhidmatan penerbangan terus Hangzhou–Kuala Lumpur, satu inisiatif yang mengukuhkan lagi kesalinghubungan udara antara Malaysia dan China.
Penerbangan yang disambung semula, MF8713, selamat mendarat di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 2:45 petang semalam. Ketibaan ini menandakan kembalinya syarikat penerbangan tersebut ke laluan Hangzhou–Kuala Lumpur selepas perkhidmatan ini digantung pada tahun 2018.
Perkhidmatan baharu ini menggunakan pesawat Boeing 737-800 dengan kapasiti 169 tempat duduk, sekali gus memperkukuh akses dari China Timur, khususnya Hangzhou dan kawasan sekitarnya. Laluan ini dijangka menyokong pertumbuhan pelancongan, memudahkan perjalanan perniagaan, dan meningkatkan pertukaran budaya antara kedua-dua negara.

Majlis sambutan ketibaan penerbangan itu diadakan dengan kehadiran barisan kepimpinan tertinggi termasuk Samuel Lee Thai Hung, Timbalan Ketua Pengarah (Promosi II) Tourism Malaysia; Nuwal Fadhilah Ku Azmi, Pengarah Kanan, Bahagian Promosi Antarabangsa (Asia/Afrika), Tourism Malaysia; Gao Ya Shuang, Pengurus Besar Xiamen Airlines; serta wakil daripada Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Menurut Samuel Lee Thai Hung, penyambungan semula laluan Hangzhou–Kuala Lumpur ini meningkatkan kemudahan perjalanan bagi pelancong dari China dan memperkukuh kerjasama pelancongan serta ekonomi antara kedua-dua negara.
“Laluan ini memudahkan pelancong dari China untuk mengunjungi Malaysia dan seterusnya mengeratkan hubungan ekonomi dan budaya antara Malaysia dan China,” katanya.
Strategik Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026)
Penyambungan semula laluan ini hadir pada waktu yang tepat menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026). Ia memudahkan pelancong dari China mengakses pelbagai tarikan pelancongan di Malaysia, termasuk warisan budaya, pengalaman kulinari, keindahan alam semula jadi, serta destinasi pulau yang popular.
Inisiatif ini juga menjadi pemangkin penting menjelang pelancaran rasmi VM2026 yang akan bermula pada 31 Disember 2025 melalui Sambutan Ambang VM2026 di Kuala Lumpur. Acara ini akan menampilkan majlis kiraan detik rasmi, festival, dan persembahan kebudayaan.

Kerajaan menyasarkan 47 juta pelawat antarabangsa pada tahun 2026, selain menggalakkan peningkatan pelancongan domestik, bagi memastikan kejayaan kempen ini sebagai strategi pembangunan pelancongan menyeluruh negara.
Dengan peningkatan kesalinghubungan udara, perjalanan ke Malaysia menjadi lebih lancar, sekali gus menyokong pertambahan ketibaan pelawat dari pasaran utama. Dari Januari hingga Ogos 2025, Malaysia merekodkan 3.3 juta ketibaan pelawat dari China, meningkat 27.5 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2024. Prestasi ini membuktikan Malaysia terus menjadi destinasi pelancongan menarik dan strategik bagi pelancong dari China.
Inisiatif ini menegaskan komitmen Tourism Malaysia dalam memposisikan negara sebagai destinasi pelancongan utama dan pintu masuk ke ASEAN, menawarkan pengalaman budaya yang meriah serta keindahan alam semula jadi yang luar biasa.
