KUALA LUMPUR – Kumpulan rock tempatan, Barbarik, mengumumkan penganjuran Pentas Barbarik Vol 2 yang dijadual berlangsung di Mega Star Arena, Sungei Wang Plaza pada 31 Januari 2026, susulan sambutan luar biasa yang diterima pada penganjuran edisi pertama sebelum ini.
Pemilihan lokasi baharu yang lebih besar dibuat bagi memberi peluang kepada lebih ramai peminat menyaksikan persembahan kumpulan itu secara langsung, selepas Pentas Barbarik Vol 1 yang berlangsung di Odeon Kuala Lumpur mencatat kehadiran penuh dan menerima maklum balas positif.
Menurut penggerak utama Barbarik, JoBranko, penganjuran kali kedua ini bukan sekadar kesinambungan, sebaliknya menampilkan pendekatan persembahan yang lebih segar dan berbeza bagi memberikan pengalaman baharu kepada penonton.

“Pentas Barbarik Vol 2 akan menampilkan perubahan ketara dari segi pemilihan lagu, susunan muzik dan elemen produksi. Kami mahu penonton merasai sesuatu yang berbeza, bukan sekadar mengulangi persembahan terdahulu,” katanya.
Beliau memaklumkan, sekurang-kurangnya 30 peratus kandungan persembahan akan diolah semula, termasuk susunan muzik baharu serta penggunaan elemen pentas yang lebih agresif dan dinamik, sejajar dengan konsep muzik keras yang dibawakan Barbarik.
Selain itu, konsert berdurasi kira-kira dua jam 30 minit itu turut dijangka menjadi lebih istimewa dengan kehadiran pemuzik undangan, termasuk penampilan khas Karl, anggota kumpulan legenda Cromok, yang dijangka menambah nilai serta tarikan kepada peminat muzik rock tempatan.

Barbarik yang dianggotai Muss (vokal), Rozaimi (bass), Ainol (dram) dan JoBranko (gitar) turut merancang penggunaan beberapa set dram di atas pentas serta kolaborasi bersama pemuzik jemputan bagi memperkayakan kualiti persembahan.
Dalam aspek pengurusan, pihak penganjur memberi jaminan bahawa sistem penjualan tiket dan pengurusan penonton akan dipertingkatkan bagi memastikan pengalaman menonton yang lebih selesa dan tersusun, berbanding penganjuran sebelum ini.
Tiket bagi Pentas Barbarik Vol 2 ditawarkan dalam beberapa kategori termasuk General Admission, Rockzone dan VIP, dengan harga bermula RM138 sehingga RM1,500 bagi kategori Grand VIP Couple Seat. Jualan tiket bermula 18 Disember 2025 menerusi platform rasmi dalam talian.
Penganjuran Pentas Barbarik Vol 2 dilihat sebagai satu lagi usaha memperkukuh kedudukan Barbarik dalam landskap muzik rock tempatan, selain menghidupkan semula budaya konsert rock berskala besar di tengah ibu kota.
