WhatsApp Image 2025-12-19 at 17.34.42

Kuala Lumpur – Malaysian Relief Agency Selangor (MRAS) terus memperkukuh peranannya dalam pembangunan sosial masyarakat dengan memberi penekanan terhadap pendidikan nilai dan pengisian rohani golongan rentan menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif kemanusiaan menjelang tahun 2026.

Komitmen tersebut dizahirkan menerusi penganjuran PRIhatin Live! 2026, sebuah sesi perkongsian strategik yang menghimpunkan wakil kerajaan negeri, sektor korporat, yayasan serta individu dermawan bagi membentangkan hala tuju program MRAS untuk tahun hadapan, di samping mengulas impak kerja kebajikan yang telah dilaksanakan sepanjang tahun lalu.

Program yang berlangsung di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC), Bukit Kiara itu telah dirasmikan oleh Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Selangor, YB Puan Anfaal Saari, yang menekankan kepentingan pendekatan kebajikan berteraskan empati, keprihatinan dan pembangunan insan secara menyeluruh.

Menurut beliau, peranan organisasi bukan kerajaan (NGO) seperti MRAS amat signifikan kerana keupayaan mereka mendekati komuniti dan memahami realiti sebenar di peringkat akar umbi, khususnya dalam menangani cabaran sosial yang semakin kompleks di kawasan bandar.

PRIhatin Live! 2026 memberi fokus kepada pembentangan projek-projek yang menyantuni golongan miskin bandar, keluarga berpendapatan rendah, ibu tunggal, kanak-kanak rentan, remaja berisiko serta warga emas di Selangor. Pendekatan yang diketengahkan melibatkan pendidikan nilai, pengukuhan rohani serta sokongan komuniti yang berterusan bagi membina daya tahan sosial jangka panjang.

Pengerusi MRAS Selangor, Sharifah Nor Syed Mohamad, berkata MRAS tidak bertujuan mengambil alih peranan mana-mana pihak, khususnya agensi kerajaan, sebaliknya melengkapkan ekosistem sedia ada dengan mengisi keperluan yang masih belum disentuh di peringkat komuniti.

“MRAS berperanan sebagai pelengkap dengan memberi tumpuan kepada ruang-ruang kecil di akar umbi yang memerlukan sokongan berterusan dan pendekatan lebih bersifat peribadi,” katanya.

Antara inisiatif utama yang dibentangkan termasuk The Sing Along Series untuk kanak-kanak, Siri Asuhan Pemimpin Muda khusus bagi pelajar universiti di bawah konsep Training The Trainer, bantuan kewangan berkala kepada ibu tunggal menerusi Tautan Prihatin, serta penyediaan Bantuan Kemanusiaan Kecemasan ketika bencana.

MRAS turut terlibat secara langsung dalam menyediakan sukarelawan perubatan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Putra Heights selama tiga minggu, selain menyalurkan bantuan awal dan sokongan komuniti semasa situasi kecemasan.

Selain itu, MRAS menyokong Darul Ukhwah, sebuah rumah perlindungan komuniti Muslim yang hidup dengan HIV/AIDS, melalui kerjasama strategik bersama Caring Pharmacy dengan membekalkan keperluan perubatan dan bukan perubatan secara berkala.

PRIhatin Live! 2026 juga berfungsi sebagai platform bagi membuka peluang kolaborasi strategik Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) antara MRAS, sektor korporat dan yayasan, bagi memastikan perancangan program kebajikan yang lebih mampan dan berimpak tinggi kepada masyarakat.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading