WhatsApp Image 2026-01-01 at 20.39.53 (1)

PUTRAJAYA – Jenama telekung premium dan busana ibadah terkemuka Malaysia, Siti Khadijah, telah melancarkan Koleksi Ramadan & Raya 2026 bertemakan Mushafe – Warisan Darul Iman, yang diinspirasikan daripada Mushaf Terengganu, manuskrip Islam klasik yang kaya dengan nilai seni, sejarah dan budaya Nusantara.

Majlis pelancaran yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) sempena Konvensyen Hijrah Bergema 2025 menyaksikan pengenalan koleksi ini sebagai satu naratif gaya hidup Muslim yang bukan sahaja menumpukan pada telekung, malah merangkumi busana lelaki, wanita dan kanak-kanak yang serba lengkap untuk Ramadan serta sambutan Aidilfitri.

Koleksi MUSHAFE mengetengahkan rekaan yang menggabungkan keselesaan, kesopanan dan elemen seni halus tradisional, dengan motif mushaf diolah secara moden dan klasik pada telekung, jubah, kurta serta busana keluarga menjadikannya sesuai dipakai sepanjang bulan Ramadan dan hari raya.

Menurut pihak jenama, palet warna pastel lembut dipilih untuk menzahirkan suasana tenang dan reflektif sepanjang Ramadan, manakala warna ceria digunakan untuk koleksi Syawal tanpa menjejaskan identiti kesederhanaan jenama. Material yang ringan, selesa dipakai dan mudah dibawa turut menjadi keutamaan dalam setiap helaian rekaan.

Salah satu tarikan utama tahun ini adalah telekung asas baharu yang dibungkus secara individu dalam kotak praktikal, menjadikannya pilihan hadiah yang bermakna untuk Ramadan, majlis khatam al-Quran atau sebagai buah tangan untuk tetamu.

Sementara itu, Siti Khadijah memperkenalkan kempen “JEDA – Damai Dalam Waktu” sebagai mesej emosi koleksi tahun ini. Kempen ini mengajak masyarakat memperlahankan langkah hidup, memberi ruang untuk keluarga, diri dan hubungan spiritual yang lebih mendalam sepanjang Ramadan.

Jelas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Enda Group Sdn. Bhd., Mohammad Munzir Aminuddin, koleksi tersebut menampilkan gabungan elemen klasik dan moden dengan rekaan yang anggun, halus serta penuh makna, sekali gus mencerminkan keindahan seni Islam yang diangkat dalam konteks gaya hidup masa kini.

Keindahan seni warisan Islam tidak wajar terhad sebagai bahan pameran semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan dan dihidupkan dalam rutin harian masyarakat. Justeru, elemen seni mushaf diterapkan ke dalam koleksi ini melalui gabungan sentuhan moden dan klasik bagi menghasilkan rekaan yang anggun, sederhana serta sarat dengan nilai makna.

Beliau berkata, pendekatan tersebut selari dengan hasrat Siti Khadijah untuk menjadikan Ramadan sebagai bulan yang diraikan secara menyeluruh, bukan hanya dari sudut ibadah, malah melalui pemilihan busana yang indah dan lengkap.

Tambahnya lagi, kebiasaan masyarakat yang hanya menumpukan persiapan pakaian baharu menjelang Aidilfitri ingin diubah, kerana Ramadan juga merupakan fasa penting yang wajar disambut dengan kesucian dan pembaharuan, termasuk melalui pemakaian busana yang baharu dan bersih.

Dalam sejarah jenama buat pertama kali, pasangan selebriti Amyra Rosli dan Amar Baharin bersama keluarga dilantik sebagai Duta Ramadan & Raya 2026 bagi mewakili tema kekeluargaan, keharmonian serta semangat kesederhanaan yang ingin diketengahkan.

“Ia selari dengan prinsip hidup kami: guna bila perlu, jamin kualiti dan pilih yang menenangkan. Nampak simple, tapi memudahkan kehidupan,” katanya. Amar Baharin pula menambah, jenama ini bukan sekadar fesyen, tapi teguran rohani untuk keluarga.

Dengan pendekatan inovatif menggabungkan fesyen, warisan dan mesej kerohanian, Siti Khadijah menegaskan peranannya bukan sekadar jenama busana ibadah tetapi sebagai sahabat dalam perjalanan spiritual umat Islam sepanjang musim perayaan ini.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading