PUTRAJAYA – Konsert Malam Hijrah Bergema anjuran TV AlHijrah muncul sebagai alternatif signifikan dalam meraikan ambang tahun baharu apabila berjaya menarik ribuan pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat dalam suasana yang tenang, tertib dan sarat pengisian rohani di Putrajaya International Convention Centre (PICC).
Penganjuran konsert ini membuktikan bahawa seni berteraskan nilai Islam mampu menjadi medium efektif dalam menyatukan masyarakat, khususnya apabila hiburan digarap bersama mesej dakwah dan muhasabah diri.
Kehadiran pelbagai peringkat golongan dalam satu ruang yang sama memperlihatkan penerimaan luas terhadap pendekatan hiburan Islamik yang inklusif dan mendidik.

Program tersebut turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli termasuk Timbalan Ketua Setiausaha (TKSUK) Jabatan Perdana Menteri, Ahli Lembaga Pengarah TV AlHijrah serta barisan Ketua Agensi Hal Ehwal Agama, sekali gus mencerminkan sokongan institusi terhadap usaha memperkasa seni sebagai wahana dakwah kontemporari.
Sepanjang konsert, penonton dihidangkan dengan persembahan nasyid, selawat dan lagu-lagu berunsur ketuhanan serta kemanusiaan yang menyentuh jiwa. Barisan artis seperti Rabbani, Raihan, UNIC, Hijjaz, Lah Ahmad, Mawi, Sufian Suhaimi serta Munsyid Muda bergandingan dengan penyanyi legenda Datuk Hattan, Dato’ Jamal Abdillah dan Dato’ Nash menyampaikan karya yang mengajak kepada keinsafan, harapan dan penghijrahan diri.

Kemuncak program menyaksikan seluruh dewan bangkit bersama-sama mengalunkan selawat dan lagu bertemakan hijrah, mencipta detik simbolik menyambut tahun baharu dengan doa serta azam memperbaiki diri. Detik tersebut menjadi gambaran jelas bagaimana seni mampu membentuk pengalaman kolektif yang membina dan menyatukan emosi masyarakat.
Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, Konsert Malam Hijrah Bergema bukan sekadar acara hiburan, sebaliknya satu bentuk dakwah yang disesuaikan dengan realiti dan citarasa semasa.
“Seni ialah bahasa yang dekat dengan masyarakat. Apabila mesej Islam disampaikan dengan kreativiti dan keindahan, ia mampu menyentuh hati, membentuk pemikiran serta merapatkan jurang antara generasi.
“Kebiasaanya masyarakat dihidangkan dengan sambutan berbentuk hiburan biasa, tetapi kali ini TVAH bawakan kelainan dengan menggabungkan elemen dakwah dalam persembahan nasyid dan muzik kontemporari, dan ini jelas terbukti mendapat sambutan dari pelbagai peringkat” katanya.




Beliau menegaskan bahawa konsep hijrah yang diketengahkan melangkaui perubahan luaran, sebaliknya menekankan transformasi jiwa, akhlak dan cara berfikir. Sambutan positif yang diterima membuktikan masyarakat semakin terbuka terhadap pendekatan dakwah yang progresif namun kekal berteraskan nilai.
“Masyarakat masa kini mencari hiburan terapi jiwa dan kita sebagai satu stesen TV mengambil inisiatif ini dengan memberi dan mempersembahkan muzik dengan elemen ketuhanan bagi pembuka tirai tahun baru ini” katanya dalam sidang media selepas konsert malam tadi.


Dari sudut penganjuran, konsert berjalan lancar dan teratur hasil kerjasama pelbagai agensi dan sukarelawan. Ramai pengunjung menyifatkan program ini sebagai pengalaman bermakna yang menawarkan ketenangan serta alternatif sihat untuk menyambut tahun baharu bersama keluarga.
TV AlHijrah melihat Konsert Malam Hijrah Bergema sebagai inisiatif jangka panjang dan berhasrat menjadikannya acara tahunan dalam memperkayakan pengisian rohani masyarakat. Program seumpama ini diharap dapat terus menjadi platform menyebarkan mesej Islam yang rahmah, membina jiwa dan memperkukuh perpaduan masyarakat dari semasa ke semasa.
