PETALING JAYA – Harga rumah dijangka meningkat secara minimum, iaitu sekitar satu hingga dua peratus, sepanjang tahun ini.
Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Ho Hon Sang, berkata pemaju tidak mudah untuk menaikkan harga jualan rumah kerana faktor kemampuan pembeli perlu diambil kira.
“Kami menjangkakan peningkatan harga rumah sekitar satu hingga dua peratus untuk menampung kenaikan kos pembinaan. Sudah tentu ia bukan peningkatan 10 hingga 20 peratus,” katanya pada sidang akhbar Siri CEO, di sini, hari ini.
Menurutnya, penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terhadap lebihan muatan lori turut memberi kesan kepada kos pembinaan.
“Semua itu memberi impak kepada kos pembinaan. Justeru, kos dijangka meningkat sekitar dua hingga tiga peratus dan sudah tentu harga jualan yang terkesan adalah kira-kira separuh daripada peratusan itu,” jelasnya.
Beliau menambah, harga jualan hartanah juga bergantung kepada pemaju, model perniagaan syarikat serta kekuatan jualan dan pemasaran masing-masing.
“Kami (REHDA) menerima banyak maklum balas daripada ahli kami bahawa terdapat kemungkinan harga akan dinaikkan sedikit, bergantung kepada jenis produk yang ditawarkan. Namun, secara umumnya, keputusan untuk menaikkan harga jualan projek bukanlah mudah.
“Jika harga lebih tinggi, bank mungkin tidak menyokong, dan pembeli yang mampu membeli menjadi terhad atau langsung tidak mampu membeli,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ho berkata harga bahan binaan seperti simen meningkat antara 10 hingga 20 peratus, sekali gus memberi tekanan kepada kos keseluruhan pembangunan dan akhirnya mempengaruhi harga jualan hartanah.
Beliau turut menjelaskan bahawa bekalan bahan binaan dalam negara ketika ini mencukupi bagi menampung keperluan pembangunan, namun peningkatan harga secara mendadak menjadi kebimbangan utama industri.
