1c3d

Kuala Lumpur – Pempengaruh media sosial dan digital diwajibkan mengisytiharkan semua bentuk pendapatan mereka, termasuk barangan percuma, hadiah serta manfaat yang diterima sebagai balasan ulasan atau promosi.

Ini bermakna, bukan hanya bayaran tunai yang dikira sebagai hasil pendapatan, malah tajaan, produk percuma, baucar, dan hadiah bernilai juga tertakluk kepada pelaporan cukai.

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) mengeluarkan garis panduan rasmi berhubung Layanan Cukai ke atas Pendapatan Pempengaruh Media Sosial.

Ini sekali gus memperjelas bahawa individu yang menjana pendapatan melalui platform digital tertakluk kepada percukaian di bawah undang-undang sedia ada.

Menurut dokumen tersebut, pempengaruh media sosial ditakrifkan sebagai individu yang mempunyai keupayaan mempengaruhi orang.

“Pempengaruh media sosial wajar diiktiraf sebagai satu kerjaya kerana ia mampu menjana pendapatan yang terbit dan diterima daripada platform media sosial atau daripada aktiviti pemasaran hasil daripada pengaruh mereka di media sosial,” jelas LHDN.

Garis panduan itu turut menyenaraikan aktiviti yang melayakkan seseorang dianggap sebagai pempengaruh.

Ini termasuk menghasilkan kandungan audio, video atau penulisan, terlibat dalam promosi, serta menerima bayaran, hadiah atau manfaat kerana kehadiran mereka di media sosial.

LHDN mengklasifikasikan pempengaruh kepada dua kategori, pempengaruh individu dan pempengaruh berasaskan objek seperti watak animasi yang mempunyai akaun rasmi di media sosial.

Antara contoh yang diberikan ialah watak Upin & Ipin dan Boboiboy yang dikendalikan oleh pemilik hak cipta tetapi tetap menjana hasil berbentuk royalti dan pemasaran digital.

Apa yang dikira sebagai pendapatan?

Menurut LHDN, pendapatan pempengaruh merangkumi pelbagai bentuk, antaranya:

  • Bayaran langsung daripada platform seperti hasil tontonan, iklan, komisen langganan dan jumlah pengikut.
  • Bayaran sebagai duta jenama (brand ambassador) atau ulasan berbayar.
  • Jualan produk fizikal atau digital seperti e-buku, kursus dalam talian dan kandungan eksklusif.
  • Penjualan akaun media sosial yang mempunyai pengikut besar.
  • Royalti penggunaan imej atau watak.
  • Bayaran kehadiran acara, ceramah, seminar, podcast, juri rancangan atau latihan profesional.

LHDN turut menegaskan bahawa pendapatan tidak terhad kepada wang tunai semata-mata.

“Bayaran ini boleh diterima dalam bentuk tunai, pemberian barangan, baucar diskaun, perkhidmatan percuma, tanda suka (emoji) dan hadiah (gift) di media sosial yang mempunyai nilai wang,” ujar kenyataan berkenaan.

Ini bermakna, barangan percuma, hotel tajaan, tiket penerbangan, atau produk yang diberikan sebagai balasan promosi juga perlu diisytiharkan sebagai pendapatan bercukai.

Garis panduan ini dilihat sebagai langkah untuk meningkatkan pematuhan cukai dalam ekonomi digital yang semakin berkembang, khususnya dalam kalangan pencipta kandungan, TikToker, YouTuber dan personaliti media sosial.

Ramai pempengaruh sebelum ini tidak menyedari bahawa hadiah dan produk tajaan juga tertakluk kepada cukai.

LHDN menggalakkan semua pempengaruh yang menjana pendapatan daripada media sosial untuk mendaftar fail cukai dan mengisytiharkan pendapatan mereka secara telus bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan pada masa hadapan.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading