Brother and sister playing games on smartphones

Brother and sister playing games on smartphones

Melaka – Masalah obesiti di kalangan kanak-kanak di negara ini semakin membimbangkan apabila ada yang dikesan mengalami berat badan berlebihan seawal usia prasekolah, sekali gus memberi kesan terhadap tidur, tumpuan serta prestasi pembelajaran mereka. 

Pakar Pediatrik di Oriental Melaka Straits Medical Centre, Dr Ng Hui Ying berkata, fenomena obesiti dalam kalangan kanak-kanak kini berlaku lebih awal berbanding dahulu, malah ada yang menunjukkan tanda risiko kesihatan sebelum memasuki alam persekolahan.

Pakar Pediatrik di Oriental Melaka Straits Medical Centre, Dr Ng Hui Ying

Menurut beliau, isu berat badan masih dianggap sensitif oleh sesetengah keluarga sehingga ada yang mengelak untuk berbincang mengenainya. Keadaan itu menyebabkan saringan dan intervensi awal sering tertangguh. 

“Malaysia kini berdepan masalah obesiti awal dalam kalangan kanak-kanak. Jika bayi atau kanak-kanak kecil mengalami kenaikan berat badan mendadak, ibu bapa digalakkan untuk mendapatkan penilaian doktor bagi mengenal pasti sama ada terdapat punca asas atau faktor risiko tertentu,” katanya.

Berdasarkan laporan American Academy of Pediatrics (AAP), kira-kira 14.4 juta kanak-kanak dan remaja di seluruh dunia mengalami obesiti, menjadikannya salah satu  masalah kesihatan kronik paling lazim dalam golongan muda. 

Di Malaysia, analisis meta pada tahun 2025 oleh Chua et al yang diterbitkan dalam Clinical and Experimental Pediatrics menunjukkan kadar obesiti kanak-kanak meningkat daripada 8.4 peratus pada 1990 kepada 14.5 peratus pada era 2020-an. Dianggarkan sekitar 30 peratus kanak-kanak berada dalam kategori berat badan berlebihan, manakala hampir satu daripada tiga remaja adalah obes.

Dr Ng menjelaskan, pakar pediatrik menilai status berat badan kanak-kanak menggunakan carta indeks jisim badan (BMI) berdasarkan piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau World Health Organization (WHO). 

Bagi kanak-kanak berusia bawah lima tahun, berat badan berlebihan ditakrifkan sebagai melebihi dua sisihan piawai daripada median pertumbuhan WHO, manakala obesiti ialah melebihi tiga sisihan piawai. 

Untuk kanak-kanak berusia lima hingga 19 tahun pula, berat badan berlebihan merujuk kepada melebihi satu sisihan piawai dan obesiti melebihi dua sisihan piawai daripada median rujukan WHO. 

“Kanak-kanak yang obes perlu menjalani saringan lanjut. Bagi kanak-kanak yang mempunyai berat badan berlebihan dengan dua atau lebih faktor risiko, penilaian tambahan juga disarankan,” katanya.

Antara tanda yang perlu diberi perhatian termasuk tekanan darah tinggi, perubahan warna kulit menjadi gelap di kawasan kulit berlipat seperti leher dan ketiak (acanthosis nigricans), kerap dahaga  dan membuang air kecil, berdengkur ketika tidur, mengantuk pada waktu siang serta kesukaran memberi tumpuan di sekolah.

Risiko obesiti juga lebih tinggi jika terdapat sejarah keluarga menghidap diabetes, tekanan darah tinggi atau penyakit jantung, ibu mengalami diabetes semasa mengandung, atau bayi dilahirkan dengan berat badan yang tidak normal.

Menurut Dr Ng, jika tidak dikawal, obesiti boleh menyebabkan penyakit jantung, diabetes, masalah hati serta gangguan kesihatan mental. Kajian turut menunjukkan kanak-kanak obes lebih berisiko menjadi mangsa dibuli dan mengalami kemurungan serta kebimbangan

Sebahagian kanak-kanak mengalami berat badan berlebihan sebelum memasuki sekolah rendah. Obesiti kanak-kanak boleh menjejaskan tidur, tumpuan dan pembelajaran.

Dr Ng berkata, kebanyakan kes obesiti dalam kalangan kanak-kanak berkait rapat dengan gaya hidup dan persekitaran harian, termasuk tabiat pemakanan, masa penggunaan skrin serta tahap aktiviti fizikal.

“Kanak-kanak yang menonton televisyen atau menggunakan peranti elektronik lebih daripada dua jam sehari didapati mempunyai risiko obesiti 42% lebih tinggi, kerana masa skrin yang panjang sering dikaitkan dengan pengambilan makanan tinggi gula dan diproses, kurang aktiviti fizikal serta tidur yang tidak mencukupi,” katanya merujuk dapatan AAP.

Data Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2024 turut menunjukkan hanya separuh kanak-kanak mengambil kesemua lima kumpulan makanan utama setiap hari. 

Selain itu, 63 peratus remaja dilaporkan mengambil lebih daripada satu minuman bergula sehari, manakala 75 peratus melebihi pengambilan lemak yang disarankan. Dua daripada lima remaja juga mengambil makan malam dan hidangan lewat malam yang berat sekurang-kurangnya sekali seminggu.

Kanak-kanak yang kurang tidur turut dikenal pasti sebagai faktor yang meningkatkan risiko obesiti dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

Dr Ng menegaskan peranan ibu bapa amat penting dalam membantu anak mengekalkan berat badan yang sihat. “Kanak-kanak lebih cenderung mencapai berat badan sihat apabila ibu bapa menjadi contoh amalan pemakanan dan gaya hidup yang baik, peka terhadap isyarat lapar dan kenyang anak serta menetapkan rutin harian yang konsisten,” katanya. 

Beliau menambah, pemeriksaan kesihatan pediatrik secara berkala memberi peluang kepada doktor untuk memantau pertumbuhan, mengenal pasti punca asas serta merancang intervensi yang bersesuaian.

“Obesiti adalah penyakit kronik yang memerlukan pengurusan berterusan dan kerjasama seluruh keluarga. Intervensi awal amat penting bagi mengelakkan komplikasi jangka panjang,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa ibu bapa agar tidak memandang ringan isu berat badan, pemakanan dan corak tidur anak-anak, sebaliknya berbincang lebih awal dengan doktor bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil pada peringkat awal.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading