Hulu Langat – Tragedi kebakaran yang melanda Maahad Tahfiz Miftahul Ulum baru-baru ini bukan sahaja memusnahkan infrastruktur fizikal, malah meninggalkan kesan emosi yang mendalam kepada para pelajar yang terjejas.
Insiden tersebut menyaksikan para pelajar kehilangan tempat belajar serta keperluan asas dalam sekelip mata, sekali gus menimbulkan cabaran besar dari segi kebajikan dan pemulihan emosi.
Prihatin dengan nasib mangsa, Estika Medispa segera tampil menyalurkan sumbangan kewangan bagi membantu pengurusan maahad serta pelajar yang terkesan.

Pengasasnya, Dr Haq berkata, keadaan pelajar yang kehilangan hampir segala-galanya menjadi dorongan utama pihaknya untuk bertindak pantas.
Menurut beliau, situasi yang dihadapi pelajar bukan sahaja melibatkan kehilangan kemudahan pembelajaran, malah turut menjejaskan keperluan asas, kestabilan emosi dan rasa selamat mereka.
“Apa yang paling menyentuh hati kami adalah apabila melihat dalam sekelip mata mereka hilang segalanya. Kami percaya apabila sesuatu berlaku dalam komuniti, semua pihak mempunyai tanggungjawab untuk membantu,” katanya.
Dr Haq menjelaskan bahawa bantuan yang disalurkan merupakan langkah awal, dengan pihak Estika kini sedang menilai bentuk sokongan susulan yang lebih tersusun bagi membantu proses pemulihan institusi tersebut.
Beliau turut menegaskan bahawa inisiatif ini bukan sekadar bantuan sekali sahaja, sebaliknya sebahagian daripada komitmen berterusan syarikat dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Menurutnya, setiap usaha CSR yang dijalankan adalah berpaksikan keperluan sebenar komuniti serta impak sesuatu kejadian terhadap kehidupan mereka.

Dalam pada itu, Dr Haq menekankan bahawa nilai empati dan tanggungjawab sosial menjadi asas penting dalam membina jenama Estika, selain memastikan kejayaan syarikat turut memberi manfaat kepada masyarakat.
Beliau berkata, syarikat swasta mempunyai kelebihan dari segi kepantasan bertindak serta keupayaan menggerakkan sumber untuk bantuan segera, termasuk dalam aspek pemulihan jangka sederhana seperti sokongan emosi dan penyediaan kemudahan asas.
Mengakhiri kenyataan, Dr Haq menyeru lebih banyak pihak tampil menghulurkan bantuan kepada Maahad Tahfiz Miftahul Ulum agar usaha pemulihan dapat dilaksanakan dengan lebih menyeluruh dan berkesan.
Tragedi ini menjadi peringatan bahawa solidariti masyarakat amat penting dalam membantu golongan yang terkesan, khususnya apabila melibatkan institusi pendidikan dan masa depan generasi muda.
