Kuala Lumpur – Seramai 240 pelajar daripada Program Asrama Malaysia (AMal) diraikan dalam satu majlis berbuka puasa yang berlangsung di Saloma Kuala Lumpur, Jalan Ampang, dalam usaha memperkukuh perpaduan serta memperkasa agenda pendidikan dalam kalangan generasi muda.
Program berkenaan dianjurkan oleh Yayasan Global Mesra (YGM) dengan kerjasama Yayasan Muhibbah Malaysia (YMM) dan Koperasi Khazanah Usahawan Berhad (KO-KHAWAN), melibatkan pelajar berasrama daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama dari seluruh negara.

Pengerusi KO-KHAWAN yang juga Naib Pengerusi YMM, Datuk Eng Yee Koon berkata, penganjuran program yang memasuki tahun kedua itu bukan sekadar majlis berbuka puasa, malah menjadi platform untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan pelajar.
Beliau berkata, bulan Ramadan merupakan waktu terbaik untuk menyemai nilai kebersamaan, selain memberi ruang kepada pelajar daripada latar belakang berbeza untuk berinteraksi dan saling memahami antara satu sama lain.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Yayasan Muhibbah Malaysia turut memberi tumpuan kepada usaha memperkasa pendidikan golongan B40 melalui program tuisyen percuma yang dijalankan secara dalam talian dan bersemuka.

Menurutnya, program berkenaan kini melibatkan sehingga 1,000 pelajar di seluruh negara, termasuk kira-kira 200 pelajar yang mengikuti kelas tuisyen secara fizikal di pusat pembelajaran yayasan itu di Jinjang.
“Program ini bukan sahaja membantu pelajar meningkatkan prestasi akademik, malah terdapat dalam kalangan mereka yang berjaya mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan,” katanya.
Bagi memastikan kelangsungan pelbagai program pendidikan dan kebajikan, pihak yayasan merancang meningkatkan dana daripada RM1 juta pada tahun lalu kepada kira-kira RM1.5 juta menjelang 2026. Peruntukan tersebut dijangka digunakan untuk melaksanakan antara lapan hingga 10 program kebajikan sepanjang tahun.

Sementara itu, Pengasas Yayasan Global Mesra, Datuk Haji Mohd Nasir Mohd Rashid berkata, kerjasama antara organisasi dalam penganjuran program tersebut membuktikan usaha kebajikan mampu dilaksanakan secara bersama tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama.
Beliau berkata, fokus utama inisiatif tersebut adalah untuk menyokong pendidikan serta kebajikan anak-anak Malaysia, selain membantu mereka menjauhi gejala sosial seperti penyalahgunaan dadah.
Tambah beliau, program yang dilaksanakan juga merupakan sumbangan dalaman daripada rangkaian usahawan yang terlibat dan tidak melibatkan kutipan derma daripada orang awam.

Dalam majlis itu, kesemua 240 pelajar yang hadir turut menerima sumbangan duit raya dan kit batik sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.
Majlis berkenaan turut dihadiri beberapa tetamu kehormat termasuk isteri Menteri Pertahanan, Datin Seri Rosni Omar; Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Seri Hasbullah Mohd Ali; serta Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Shaharuddin Abu Sohot.
Turut hadir Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Ahmad Sharil Shariff.
