WhatsApp Image 2026-03-17 at 01.05.19

Putrajaya – Seramai 391 murid daripada keluarga asnaf dan kurang berkemampuan di sekitar Putrajaya menerima sumbangan Aidilfitri menerusi program anjuran Biro Pendidikan Perpaduan Putrajaya, hari ini.

Program kebajikan yang dianjurkan buat tahun ketiga berturut-turut itu bertujuan membantu meringankan beban keluarga serta menceriakan murid yang terpilih dalam membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.

Ketua Biro Pendidikan Perpaduan Putrajaya, Datuk Mohd. Hisamudin Yahaya berkata, penerima sumbangan terdiri daripada murid sekolah rendah di sekitar Putrajaya yang dikenal pasti sebagai golongan memerlukan.

Menurut beliau, jumlah penerima pada tahun ini menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu yang hanya melibatkan 320 murid.

“Program ini bertujuan membantu meringankan beban keluarga serta memberi kegembiraan kepada murid-murid terpilih dalam membuat persiapan Hari Raya,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan sumbangan tersebut.

Dalam program itu, sebanyak RM39,100 berjaya disalurkan melalui sumbangan daripada pelbagai pihak yang prihatin terhadap kebajikan golongan kurang berkemampuan.

Setiap murid menerima kad hadiah AEONBiG bernilai RM100 yang boleh digunakan untuk membeli pakaian atau keperluan Hari Raya di premis pasar raya tersebut di seluruh negara.

Hisamudin berkata, walaupun jumlah sumbangan yang diberikan tidak besar, ia diharap dapat memberi kegembiraan kepada murid serta menyuntik semangat untuk menyambut Aidilfitri dengan lebih ceria.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, atas sokongan yang diberikan terhadap program itu selama tiga tahun berturut-turut.

Tambah beliau, inisiatif seumpama itu mencerminkan semangat kebersamaan antara pihak kerajaan, organisasi masyarakat dan sektor korporat dalam membantu golongan memerlukan.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading