WhatsApp Image 2026-03-15 at 12.17.27

Putrajaya – Festival Gema Raya Putrajaya 2026 dianjurkan dengan jayanya apabila menghimpunkan pelbagai aktiviti menarik sempena Ramadan dan persiapan menyambut Aidilfitri, sekali gus menjadi antara festival raya terbesar di negara ini.

Berlangsung selama 33 hari bermula 15 Februari hingga malam raya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), festival ini menampilkan gabungan aktiviti keusahawanan, hiburan, kerohanian serta jualan produk perayaan yang menarik minat orang ramai dari pelbagai kawasan.

Penganjuran berskala besar ini berjaya menarik sehingga 800,000 pengunjung, menjadikan Putrajaya sebagai antara destinasi utama masyarakat untuk membeli-belah dan menikmati suasana Ramadan bersama keluarga.

Festival ini menghimpunkan lebih 230 vendor yang menawarkan pelbagai produk termasuk pakaian raya, aksesori, makanan tradisional, produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta barangan keperluan harian.

Selain menjadi lokasi membeli-belah, program ini juga berperanan sebagai platform memperkasakan usahawan tempatan dengan memberi peluang kepada peniaga memperkenalkan produk mereka kepada pasaran lebih luas.

Kerjasama dengan pelbagai agensi dan rakan strategik turut menyokong penganjuran festival ini, termasuk penglibatan FAMA melalui program jualan agro yang menawarkan hasil pertanian dan makanan segar kepada pengunjung pada harga berpatutan.

Sementara itu, kerjasama bersama Lotus’s Malaysia turut menjadi tarikan utama di festival ini. Lotus’s Malaysia memanfaatkan festival ini untuk mendekati komuniti melalui pelbagai tawaran menarik termasuk promosi barangan keperluan harian dan makanan dengan diskaun sehingga 40 peratus sepanjang Ramadan.

Ketua Pegawai Kewangan Lotus’s Malaysia, Yvonne Yong berkata, Lotus’s Malaysia berbesar hati menaja 100 bakul makanan Lotus bernilai RM250 kepada pengunjung yang bertuah.

Penganjur Acara Gema Raya Putrajaya 2026@PICC, Rayme Zainal menyifatkan penganjuran festival ini sebagai kejayaan dengan peningkatan kehadiran pengunjung pada dua minggu terakhir bulan Ramadan ini.

“Kami sentiasa berinteraksi dan membantu para vendor dalam mempromosikan jualan dengan pelbagai aktiviti dan sesi ‘happy hour‘, selain membuat lebih banyak shout out di media sosial.

“Ini merupakan penganjuran kali pertama di PICC dan secara tidak langsung memberikan pelbagai kemudahan kepada pengunjung dengan penyediaan ruang parkir, surau, tandas yang selesa disamping susunan aktiviti yang menarik sepanjang festival” katanya.

Tambahnya lagi, pihaknya akan melakukan post mortem untuk menambah baik kekurangan bagi penganjuran Festival Gema Raya Putrajaya pada tahun hadapan.

“Kita akan pastikan penganjuran kali kedua nanti dapat memberikan impak yang lebih dengan pelbagai lagi aktiviti, kerjasama korporat dan penyertaan vendor-vendor terbaik yang memfokuskan produk jualan bersesuaian hari raya” ujarnya.

Jelasnya, setiap cadangan dan aduan yang diterima akan dinilai dan diambil kira bagi memastikan penganjuran kali kedua dapat dijalankan dengan lebih baik.

“Kita akan menambah khidmat servis shuttle dan juga kod diskaun e-hailing bagi memudahkan pengunjung yang tidak mempunyai kenderaan untuk datang ke PICC sepanjang penganjuran festival” tambahnya.

Ketua Pembangunan Perniagaan Kumpulan, Pulse Group, Fahizee Mustafa menambah, penganjuran Festival Gema Raya ini menghidupkan suasana dan kemeriahan sepanjang bulan Ramadan.

“Kami terbuka untuk kerjasama dengan pihak organizer bagi penganjuran tahun hadapan dengan mengambil kira pelbagai penambah baikan untuk kemudahan pengunjung” katanya.

Pemilihan PICC sebagai lokasi penganjuran turut memberi kelebihan dari segi kemudahan seperti ruang berhawa dingin, kawasan luas serta fasiliti lengkap yang sesuai untuk acara berskala besar.

Kehadiran pengunjung lazimnya memuncak selepas waktu berbuka puasa apabila orang ramai mengambil peluang membeli-belah, menikmati hidangan serta menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan.

Secara keseluruhannya, Gema Raya Putrajaya 2026 bukan sahaja menjadi platform ekonomi untuk usahawan tempatan, malah turut memperkukuh hubungan komuniti dalam meraikan Ramadan dan menyambut Aidilfitri dalam suasana penuh kemeriahan.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading