hasil canting batik

Kuala Lumpur – Setiap anak dilahirkan dengan potensi dan peluang untuk berjaya. Namun, tidak semua bernasib baik membesar dalam persekitaran yang mampu menyediakan segala keperluan untuk merealisasikan impian tersebut. Bagi sebahagian anak-anak asnaf, kekangan hidup sering menyebabkan mereka membesar dengan rasa rendah diri, malu untuk bercita-cita tinggi dan kurang yakin bahawa masa depan mereka mampu berubah.

Menyedari hakikat itu, TV AlHijrah dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan telah menganjurkan program Hijrah Prihatin Bangkit Asnaf 2026 yang berlangsung selama tiga hari, dari 15 hingga 17 Mei 2026 di Perlis.

Program tersebut melibatkan 30 pelajar asnaf daripada enam sekolah sekitar Kuala Lumpur iaitu Sekolah Kebangsaan Dato Keramat 1, Sekolah Kebangsaan Bukit Jalil, Sekolah Kebangsaan Bandar Tasik Selatan, Sekolah Kebangsaan Cochrane Perkasa, Sekolah Kebangsaan Batu Muda dan Sekolah Kebangsaan Sentul Utama.

Lebih daripada sekadar lawatan atau aktiviti santai, program ini dirangka khusus bagi membina keyakinan diri, semangat juang serta keberanian untuk mengubah kehidupan. Melalui pelbagai aktiviti motivasi, pembangunan diri, santuni komuniti dan sesi kebersamaan, para peserta didedahkan dengan nilai kehidupan, semangat berdikari dan kekuatan untuk terus melangkah walaupun berdepan pelbagai cabaran hidup.

Bagi kebanyakan peserta, pengalaman menaiki tren ETS dari KL Sentral ke Arau bersama rakan-rakan menjadi antara kenangan paling bermakna sepanjang program berlangsung. Perjalanan tersebut bukan sahaja memberikan pengalaman baharu, malah membuka ruang kepada mereka untuk melihat dunia di luar rutin kehidupan harian yang serba sederhana.

Sepanjang program berlangsung, peserta turut mengikuti pelbagai aktiviti yang menekankan nilai kebersamaan, disiplin, komunikasi dan pembentukan jati diri. Pendekatan santai yang diterapkan membantu mereka berinteraksi dengan lebih yakin, berkongsi pandangan serta meluahkan impian yang selama ini mungkin hanya tersimpan dalam hati.

Perubahan positif turut dapat dilihat dalam tempoh yang singkat. Ada peserta yang pada awalnya pendiam mula berani berkomunikasi dan bergaul dengan rakan-rakan lain, manakala sebahagian lagi mula berkongsi cita-cita serta harapan untuk membantu keluarga mereka pada masa hadapan.

Menurut Pengurus Projek, Muhammad Sazri Abd Sani, program berkenaan bukan sekadar bertujuan memberikan kegembiraan sementara kepada peserta, sebaliknya menjadi platform untuk menyuntik keyakinan dan harapan baharu dalam diri mereka.

“Kami tidak mahu anak-anak ini pulang sekadar membawa kenangan program, tetapi pulang dengan keyakinan bahawa mereka juga mampu berjaya. Hari ini mungkin mereka dibantu sebagai asnaf, tetapi suatu hari nanti kami mahu melihat mereka pula menjadi insan yang membantu orang lain,” katanya.

Beliau berkata, ramai anak-anak asnaf sebenarnya mempunyai potensi besar, namun kekangan hidup sering menyebabkan mereka hilang keyakinan terhadap diri sendiri dan masa depan.

“Kadang-kadang yang mereka perlukan bukan hanya bantuan kewangan, tetapi seseorang yang percaya bahawa mereka boleh berjaya. Apabila mereka mula percaya pada diri sendiri, di situlah bermulanya sebuah hijrah yang sebenar,” katanya.

Program ini turut mencerminkan komitmen TV AlHijrah dan MAIWP dalam memastikan bantuan kepada golongan asnaf tidak hanya tertumpu kepada aspek material, tetapi turut merangkumi pembangunan emosi, motivasi dan keyakinan diri agar mereka mampu keluar daripada kitaran kemiskinan serta membina masa depan yang lebih baik.

Bagi kedua-dua organisasi, anak-anak asnaf bukan sekadar statistik penerima bantuan, sebaliknya generasi masa depan yang mempunyai potensi besar untuk berjaya sekiranya diberikan ruang, perhatian dan peluang yang sewajarnya.

Orang ramai juga dijemput menyaksikan kapsul khas Hijrah Prihatin Bangkit Asnaf 2026 yang akan disiarkan pada 13 dan 14 Jun 2026, jam 6.55 petang di TV AlHijrah bagi mengikuti sendiri perjalanan, keterujaan dan semangat luar biasa anak-anak asnaf sepanjang program tersebut berlangsung.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading