IMG_20261101_122106

KUALA LUMPUR – Jenama fesyen tempatan, Bayu Somerset terus memperkukuh kedudukannya dalam industri fesyen tanah air menerusi pembukaan cawangan terbaharu di 118 Mall, Merdeka 118, sekali gus menandakan pembukaan outlet fizikalnya yang ke-25.

Pembukaan cawangan seluas 2,640 kaki persegi itu menjadi sebahagian daripada strategi pengembangan perniagaan jenama berkenaan untuk memperluas pasaran serta mendekati lebih ramai pelanggan, khususnya di lokasi tumpuan komersial dan pelancongan.

Beroperasi sejak lima tahun lalu, Bayu Somerset berjaya membina nama menerusi koleksi fesyen kontemporari yang menampilkan warna-warna ceria, motif cetakan unik dan rekaan sedia pakai pada harga berpatutan.

Daripada sebuah jenama tempatan, Bayu Somerset kini berkembang dengan memiliki 25 cawangan di seluruh negara dan menyasarkan untuk meningkatkan jumlah tersebut kepada 32 outlet menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pemasaran Bayu Somerset, Dania Kamalul Arifin berkata, pembukaan cawangan di Merdeka 118 merupakan pencapaian penting buat syarikat, lebih-lebih lagi ketika jenama itu meraikan ulang tahun kelima dalam industri fesyen.

Menurutnya, pemilihan lokasi berkenaan merupakan langkah strategik bagi memperkukuh kehadiran jenama selain menawarkan pengalaman membeli-belah lebih baik kepada pelanggan.

Beliau berkata, pembukaan outlet baharu itu turut memberi peluang kepada Bayu Somerset untuk menarik kumpulan pelanggan yang lebih luas serta memperkenalkan koleksi keluarannya di lokasi yang menjadi tumpuan pengunjung tempatan dan antarabangsa.

Dalam pada itu, Bayu Somerset turut melihat pembukaan cawangan di Merdeka 118 sebagai platform untuk memperkenalkan identiti fesyen tempatan kepada pasaran lebih luas, termasuk di peringkat antarabangsa.

Syarikat berkenaan juga mengenal pasti Asia Tenggara sebagai antara pasaran berpotensi untuk pengembangan perniagaannya pada masa hadapan.

Walaupun terus mengembangkan rangkaian perniagaan, Bayu Somerset tetap mengekalkan identiti asal yang menjadi kekuatan jenama itu, khususnya menerusi penawaran fesyen pada harga mampu milik, rekaan berani dan ekspresif serta hubungan rapat dengan komuniti pelanggan.

Dania berkata, pihaknya percaya fesyen bukan sekadar pakaian, sebaliknya menjadi medium untuk wanita menampilkan keyakinan diri dan mengekspresikan personaliti masing-masing.

Justeru, cawangan baharu itu direka bagi memberikan pengalaman membeli-belah lebih selesa, selain membolehkan pelanggan meneroka pelbagai pilihan koleksi terkini dan cetakan eksklusif Bayu Somerset.

Bagi meraikan pembukaan cawangan berkenaan, Bayu Somerset turut mengadakan majlis pelancaran yang dimeriahkan dengan pertunjukan koleksi khas jenama, persembahan tarian kebudayaan oleh Akar Seni Malaysia serta persembahan artis tempatan, Iman Troye dan Aufahanie.

Pembukaan outlet di Merdeka 118 itu dijangka menjadi antara pemangkin kepada fasa pertumbuhan seterusnya Bayu Somerset dalam memperkukuh jenama tempatan serta meneroka peluang perniagaan di peringkat serantau.

Cawangan terbaharu Bayu Somerset kini beroperasi di Tingkat 3, Lot 30 dan 31, 118 Mall, Merdeka 118, Kuala Lumpur.

Untuk maklumat lanjut mengenai jenama dan koleksi terkini, orang ramai boleh melayari laman web rasmi Bayu Somerset.

Leave a Reply