Screenshot
Stadium Merdeka bertukar menjadi pusat tumpuan gaya hidup sihat apabila lebih 10,000 peserta membanjiri edisi ke-11 Watsons Get Active Carnival, sekali gus membuktikan sambutan rakyat Malaysia terhadap aktiviti kecergasan dan kesejahteraan terus meningkat dari tahun ke tahun.

Menurut Pengarah Urusan Serantau, Health & Beauty Asia, AS Watson Group merangkap Pengarah Serantau Exclusives, Watsons International, Caryn Loh, sambutan yang diterima membuktikan usaha memperkasakan kesejahteraan masyarakat perlu diteruskan secara menyeluruh.
“Kami terus komited untuk membantu komuniti menjalani kehidupan yang lebih sihat dan bahagia. Watsons Get Active Carnival bukan sekadar acara kecergasan, tetapi platform yang menyatukan masyarakat melalui pengalaman kesejahteraan yang interaktif dan mudah diakses.

“Kami percaya kesejahteraan bukan hanya melibatkan kecergasan fizikal, malah turut merangkumi kesihatan mental, hubungan komuniti yang lebih erat dan gaya hidup sihat untuk semua,” katanya.

Penganjuran karnival tahunan oleh Watsons Malaysia itu diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-185 legasi AS Watson yang membawa aspirasi Look Good, Do Good, Feel Great, dengan matlamat menggalakkan masyarakat mengamalkan kehidupan lebih aktif, sihat dan seimbang.
Antara aktiviti yang mendapat perhatian ialah Larian Santai 5 kilometer (5KM) dan 10 kilometer (10KM), selain pelbagai cabaran sukan, pengalaman kesihatan dan kecantikan interaktif serta aktiviti kesejahteraan yang memberi peluang kepada orang ramai mendekati amalan hidup sihat dengan cara lebih menyeronokkan.
Salah satu tarikan utama pada edisi kali ini ialah Hari Sukan: Permainan Nostalgia yang membawa peserta mengimbau kenangan zaman kanak-kanak menerusi permainan tradisional seperti Lari Tiga Kaki, Lompat Guni dan Cabaran Tiang Slalom.

Lebih menarik, peserta turut berpeluang mencipta rekod peribadi dalam Malaysia Book of Records dengan mencatat masa dan prestasi terbaik bagi permainan yang dipertandingkan.
Pendekatan tersebut bukan sahaja menghidupkan semula warisan permainan tradisional, malah menggalakkan aktiviti fizikal, semangat berpasukan serta mengeratkan hubungan antara generasi.

Selain aktiviti sukan, pengunjung turut mengunjungi Health & Beauty Bazaar yang menawarkan pelbagai pengalaman menarik termasuk sesi pensampelan produk, pemeriksaan kesihatan, khidmat nasihat ahli farmasi Watsons serta aktiviti interaktif bersama jenama-jenama kesihatan dan kecantikan terkenal.
Karnival itu turut mendapat sokongan daripada KPJ Healthcare, Sports Direct serta pelbagai rakan jenama yang bersama-sama berkongsi aspirasi memperluaskan akses kepada gaya hidup sihat dan kesejahteraan buat rakyat Malaysia.
