KUALA LUMPUR – Madani Greatlink Sdn. Bhd. mengorak langkah baharu dalam usaha memperkukuhkan penjenamaan syarikat apabila tampil sebagai antara penaja filem Tiket Sehala, terbitan Key Billions Sdn. Bhd.
Pemiliknya, Hairi Jasadi berkata, kerjasama itu merupakan penampilan sulung syarikat sebagai penaja filem dan tercetus selepas beliau tertarik dengan jalan cerita serta gabungan pelakon dari Malaysia, Korea Selatan dan Indonesia.

Menurut beliau, penglibatan dalam dunia perfileman bukan sekadar tanda sokongan terhadap industri kreatif tempatan, malah menjadi platform strategik untuk memperkenalkan jenama Madani Greatlink kepada khalayak yang lebih luas.
“Apabila saya mengetahui mengenai filem Tiket Sehala, saya terus berminat untuk menjadi antara penajanya. Tambahan pula, filem ini menghimpunkan pelakon dari Malaysia, Korea Selatan dan Indonesia.
“Walaupun Madani Greatlink sudah lama berada dalam industri, kami masih memerlukan pendedahan yang lebih meluas. Ini merupakan pengalaman pertama kami menaja sebuah filem,” katanya.
Hairi turut memaklumkan bahawa syarikat merancang mengadakan siri jelajah promosi bagi menyemarakkan tayangan Tiket Sehala, termasuk program di Shah Alam minggu depan yang bakal melibatkan komuniti motosikal.
“Kami akan mengadakan jelajah sempena pelancaran rasmi filem ini. Program di Shah Alam nanti turut menghimpunkan komuniti motosikal untuk menyertai pelbagai aktiviti sebelum bersama-sama menonton Tiket Sehala,” katanya.

Pada program promosi yang berlangsung hari ini, pengunjung turut disajikan dengan pelbagai aktiviti interaktif termasuk Gold Bar Challenge.
Seramai 100 pemenang berpeluang membawa pulang tiket percuma menonton Tiket Sehala, selain baucar pembelian kenderaan dengan nilai keseluruhan RM50,000.
Menurut Hairi, setiap baucar bernilai RM5,000 dan diharap mampu meningkatkan lagi kesedaran orang ramai terhadap perniagaan Madani Greatlink dalam jualan kereta serta motosikal.
“Kami berharap kerjasama ini dapat memperkenalkan Madani Greatlink kepada lebih ramai masyarakat sebagai syarikat yang menawarkan jualan kereta dan motosikal. Itu antara matlamat utama kami selain minat terhadap filem ini,” katanya.
Tiket Sehala menampilkan barisan pelakon tempatan dan antarabangsa, menjalani penggambaran di Malaysia dan Korea Selatan serta mengangkat isu-isu semasa yang dekat dengan realiti kehidupan masyarakat.
Filem terbitan Key Billions Sdn. Bhd. itu dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 6 Ogos ini.
