MEITU_20260818_165044771

KUALA LUMPUR: Semangat patriotisme kembali disemarakkan menerusi karya muzik apabila Alif Satar & The Locos tampil dengan single terbaharu, Kibar Cinta Merdeka, bersempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026.

Kerjasama bersama Nutriplus itu mengetengahkan mesej perpaduan, kebersamaan dan rasa bangga sebagai rakyat Malaysia, sekali gus menjadikan muzik sebagai medium untuk menyatukan masyarakat daripada pelbagai latar belakang.

Lebih daripada sekadar lagu bertemakan kemerdekaan, Kibar Cinta Merdeka membawa mesej bahawa semangat merdeka bukan hanya tentang mengingati sejarah, sebaliknya turut menghargai nilai kebersamaan yang menjadi kekuatan rakyat Malaysia.

Dengan susunan muzik yang bertenaga serta visual sarat dengan elemen Malaysia, karya berkenaan mengajak masyarakat mengibarkan Jalur Gemilang dan meraikan identiti sebagai sebuah negara yang berbilang kaum.

Alif Satar, yang sinonim dengan karya berunsur positif dan nilai kekeluargaan, bersama The Locos meneruskan pendekatan tersebut menerusi naskhah yang dekat dengan semangat masyarakat Malaysia.

Menurut Alif, lagu berkenaan membawa mesej bahawa kemerdekaan dan kecintaan terhadap negara merupakan tanggungjawab serta kebanggaan yang dikongsi bersama tanpa mengira latar belakang.

Kibar Cinta Merdeka adalah tentang kita semua. Walaupun datang daripada latar belakang berbeza, kita berkongsi tanah air dan rasa bangga sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berharap lagu itu dapat menjadi antara karya yang mengiringi sambutan Merdeka dan Hari Malaysia tahun ini, sama ada dinikmati bersama keluarga, di sekolah, tempat kerja mahupun dikongsikan menerusi media sosial.

Dalam pada itu, kerjasama tersebut turut mencerminkan usaha Nutriplus untuk mendekati pengguna menerusi kempen dan pengalaman yang berkait rapat dengan kehidupan seharian rakyat Malaysia.

Sebagai jenama makanan yang dekat dengan keluarga, Nutriplus melihat makanan sebagai salah satu elemen yang mampu menghubungkan masyarakat, khususnya menerusi momen bersama di meja makan.

Sempena pelancaran Kibar Cinta Merdeka, Nutriplus turut menganjurkan kempen Buy & Win 999 Gold Egg yang berlangsung dari 1 Ogos hingga 30 September 2026.

Menerusi kempen itu, pengguna yang membeli produk telur dan/atau makanan sejuk beku Nutriplus bernilai minimum RM35 dalam satu resit berpeluang memenangi hadiah termasuk enam biji 999 Gold Egg serta 60 hadiah Touch ’n Go eWallet bernilai RM100.

Video muzik rasmi Kibar Cinta Merdeka oleh Alif Satar & The Locos turut dilancarkan menerusi saluran digital rasmi Nutriplus.

Karya tersebut diharap dapat menambahkan kemeriahan sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini, selain menyampaikan mesej bahawa semangat Malaysia mampu diraikan bersama melalui muzik, keluarga dan rasa cinta terhadap tanah air.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading