KUALA LUMPUR – Menyedari perjalanan penyusuan susu ibu bukan sesuatu yang mudah, Toshiba Lifestyle Malaysia tampil memperkukuh sokongan kepada golongan ibu menerusi inisiatif “Empowering Every Mother’s Journey” bersempena Bulan Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2026.
Inisiatif itu memberi tumpuan kepada realiti yang dilalui ibu sepanjang tempoh penyusuan, selain menggalakkan kesedaran, pendidikan dan sokongan lebih menyeluruh kepada ibu serta bayi.
Program berkenaan dirasmikan YB Yeo Bee Yin, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat, yang menekankan kepentingan kerjasama antara keluarga, komuniti, golongan profesional kesihatan dan sektor swasta dalam membentuk persekitaran lebih menyokong untuk ibu.

Turut berlangsung ialah sesi forum yang menampilkan YB Yeo Bee Yin bersama Perunding Laktasi Bertauliah dan Pakar Penjagaan Bayi, Elizabeth Richard, serta model, penggiat seni seramik dan advokat kesejahteraan, Natasha Hudson.
Perkongsian panel memberi gambaran lebih dekat mengenai cabaran fizikal dan emosi yang dihadapi ibu ketika menyusukan bayi, termasuk kepentingan membuat pilihan berdasarkan maklumat, mendapatkan panduan profesional serta mempunyai sistem sokongan yang kukuh.
Menurut Ketua Pengurusan Jenama Toshiba Lifestyle Malaysia, Vanice Foo, teknologi seharusnya memainkan peranan lebih besar dalam meningkatkan kualiti kehidupan seharian.
Katanya, Toshiba mahu menggabungkan teknologi, pendidikan dan keprihatinan terhadap komuniti bagi membantu ibu sepanjang perjalanan penyusuan serta menyumbang kepada permulaan kehidupan yang lebih sihat untuk bayi.

Komitmen Toshiba turut diterjemahkan menerusi sumbangan peralatan rumah bernilai kira-kira RM60,000 kepada tiga pusat berpantang iaitu The Nesting Place Confinement Centre, Kimporo Postnatal Rejuvenation Centre dan LYC Mother & Child Centre.
Sumbangan itu merangkumi peti sejuk, mesin basuh, mesin pengering dan mesin basuh pinggan mangkuk.
Peti sejuk berkenaan dapat membantu penyimpanan susu ibu perahan secara lebih bersih dan teratur, manakala peralatan lain pula bertujuan meningkatkan keselesaan serta kemudahan ibu sepanjang tempoh pemulihan selepas bersalin.
Usaha tersebut turut melayakkan Toshiba Lifestyle Malaysia menerima pengiktirafan Parenthood Records bagi kategori Most Home Appliances Donated to Confinement Centres, sekali gus menjadi antara pencapaian yang mengukuhkan komitmen jenama itu terhadap kesejahteraan ibu dan bayi.

Selain itu, program berkenaan turut menampilkan 5-Senses Toshiba Lifestyle Experience Zone, yang memperkenalkan penyelesaian rumah Toshiba dalam mewujudkan suasana lebih tenang dan selesa untuk keluarga yang sedang melalui fasa awal kehidupan bersama bayi.
Melalui inisiatif berkenaan, Toshiba Lifestyle Malaysia bukan sekadar mengetengahkan teknologi dan produk rumah, malah membawa pendekatan lebih berteraskan komuniti dengan memberi perhatian kepada keperluan sebenar ibu dan keluarga.
Usaha itu mencerminkan aspirasi Toshiba untuk memastikan perjalanan penyusuan dapat dilalui dengan sokongan, keyakinan dan penjagaan yang sewajarnya.
