KUALA LUMPUR – Rangkaian pasar raya premium, Cold Storage, secara rasmi membuka cawangan terbaharunya di 1 Mont Kiara, menawarkan pelbagai pilihan produk makanan berkualiti, barangan istimewa, makanan sedia dimakan serta perkhidmatan yang memudahkan pelanggan.
Sempena pembukaan itu, Cold Storage 1 Mont Kiara turut menawarkan pelbagai promosi eksklusif, termasuk potongan harga istimewa bagi produk makanan import bermusim serta hadiah pembelian.
Cawangan terbaharu itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Cold Storage mengembangkan perniagaannya di Malaysia, selepas pembukaan cawangan di The Tenz Emporium, Alor Setar dan Klang Parade.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd, Cheah Yong Hock, bersama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Linda Phang, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur, Mohd Sabri bin Seman serta pihak pengurusan pusat beli-belah 1 Mont Kiara.
Cold Storage 1 Mont Kiara menghimpunkan pelbagai produk makanan premium dan istimewa, termasuk daging lembu Hanwoo halal MiGyeongSan, telur Lingzhi, kaunter keju serta ruang khas yang menawarkan aneka snek dari Jepun dan Korea.
Pelanggan turut berpeluang mendapatkan kimchi dan banchan, iaitu hidangan sampingan Korea yang disediakan segar setiap hari.
Selain itu, pasar raya berkenaan menawarkan gelato daripada jenama Itali, Sammontana, serta pelbagai pilihan barangan runcit antarabangsa dan produk premium untuk memenuhi keperluan pelanggan.
Bagi memenuhi keperluan pelanggan, pasar raya itu turut menyediakan kaunter daging khusus yang menawarkan perkhidmatan potongan mengikut pilihan masing-masing.
Antara pilihan yang tersedia termasuk daging kisar, potongan kiub, hirisan nipis untuk masakan goreng serta potongan stik.
Perkhidmatan penyesuaian bahan mentah itu turut meliputi salmon dan pelbagai jenis makanan laut, membolehkan pelanggan memilih potongan mengikut cita rasa serta keperluan masakan.
Pilihan makanan sedia dimakan turut dipertingkatkan menerusi ruang khas Bento & Dosirak yang menawarkan hidangan dalam kotak untuk pelanggan yang mahukan pilihan makanan lebih mudah dan praktikal.

Ruang berkenaan melengkapi pilihan makanan sedia ada, termasuk Kyojin Sushi, Mercato Café & Bakery, Euro Deli dan Nasi Campur.
Kepelbagaian pilihan itu memberikan pelanggan lebih banyak alternatif untuk menikmati hidangan yang bersesuaian dengan cita rasa masing-masing.
Bagi meningkatkan keselesaan pelanggan, Cold Storage 1 Mont Kiara menyediakan kaunter pembayaran layan diri serta perkhidmatan menghantar troli ke kenderaan pelanggan.
Pasar raya itu turut menawarkan penghantaran barangan runcit secara percuma dalam lingkungan lima kilometer, dengan pembelian minimum RM300.
Selain itu, premis berkenaan menempatkan MY CHEMIST Hub yang menawarkan perkhidmatan farmasi serta produk kesihatan dan kecantikan, sekali gus melengkapkan pengalaman membeli-belah di bawah satu bumbung.
Kerjasama MyKasih Santuni Golongan Memerlukan
Dalam perkembangan berkaitan, GCH Retail (Malaysia) bekerjasama dengan MyKasih menerusi inisiatif kebajikan Kongsi Rezeki sempena pembukaan cawangan berkenaan.
Kempen yang berlangsung sehingga 31 Disember itu menggalakkan pelanggan menyumbangkan barangan makanan kepada golongan yang memerlukan.
Pelanggan yang layak dan mempunyai bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) secara sekali beri boleh menggunakan bantuan berkenaan untuk membeli barangan makanan terpilih bagi tujuan sumbangan.
Pelanggan boleh memilih pakej sumbangan bernilai RM30, RM50 atau RM100.

Barangan sumbangan akan dikumpulkan oleh MyKasih menerusi program kebajikan bergerak, lokasi acara serta tempat yang ditetapkan.
GCH Retail (Malaysia) pula akan menyediakan pakej makanan berdasarkan jumlah sumbangan yang dikumpulkan setiap bulan.
Pakej berkenaan kemudiannya akan diagihkan kepada penerima yang dikenal pasti menerusi kerjasama MyKasih dan Giant.
Inisiatif itu mencerminkan usaha kedua-dua pihak untuk menggalakkan budaya berkongsi rezeki serta membantu meringankan beban golongan yang memerlukan.
