Flag Off

Kuala Lumpur – Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) bukan sekadar sebuah perlumbaan. Ia merupakan kemuncak kepada latihan selama berbulan-bulan, larian seawal pagi dan pencapaian peribadi. Sebagai rakan rasmi kasut dan pakaian sukan untuk tahun kedua berturut-turut, ASICS Malaysia hadir sepanjang KLSCM 2026, menghimpunkan pelbagai pengalaman yang merangkumi keterujaan pada hari perlumbaan, pemulihan, prestasi dan semangat komuniti.

Tahun ini, ASICS Malaysia memperluas penglibatannya sepanjang hujung minggu perlumbaan dengan memperkenalkan ASICS House, Zon Sorakan khusus di sepanjang laluan perlumbaan serta pelancaran koleksi barangan eksklusif ASICS x KLSCM 2026. Pada masa yang sama, atlet ASICS turut menyertai ribuan pelari yang membanjiri jalan-jalan di Kuala Lumpur.

HASREEZAN HASSAN 2025

Dengan penyertaan seramai 40,000 pelari dari 70 negara dan jumlah wang hadiah keseluruhan sebanyak RM500,000, KLSCM 2026 menghimpunkan pelari daripada pelbagai peringkat keupayaan untuk bersama-sama menikmati hujung minggu yang meraikan pengalaman bergerak dan berlari bersama.

Pengalaman ini turut melangkaui laluan perlumbaan menerusi kemunculan sulung ASICS House, sebuah ruang khas untuk ahli OneASICS dan tetamu jemputan berkumpul, berehat dan meraikan bersama. Berlangsung pada 3 dan 4 Oktober, ruang ini menawarkan kemudahan mandian rendaman air sejuk untuk pemulihan, Personal Best Wall bagi meraikan pencapaian terbaik peribadi, stesen penghasilan rantai kunci tersuai serta minuman dan makanan ringan percuma.

Direka sebagai ruang untuk merehatkan diri daripada kesibukan hujung minggu perlumbaan, ASICS House menghimpunkan komuniti pelari dan menyemarakkan semangat kebersamaan menerusi detik-detik yang dikongsi, perbualan mesra dan sambutan bersama, sebelum dan selepas melintasi garisan penamat.

Buat julung kalinya di KLSCM, ASICS Malaysia turut memperkenalkan ASICS Roving Truck, yang membawa pengalaman hujung minggu perlumbaan jenama ini secara terus kepada pelari di sekitar Kuala Lumpur. Dengan singgahan di beberapa lokasi menjelang hari perlumbaan, trak ini memberi peluang kepada pelari untuk mencuba kasut ASICS dan mengenali jenama ini di luar suasana acara konvensional. Trak ini kemudiannya membuat persinggahan terakhir di Zon Sorakan KLSCM bagi memberikan sokongan kepada para pelari pada hari perlumbaan.

“Setiap pelari menyertai KLSCM dengan matlamat yang berbeza, namun pada hari perlumbaan, kita berkongsi jalan raya yang sama dan semangat yang sama untuk terus mara ke hadapan. Tahun ini, kami ingin mewujudkan pengalaman yang lebih menyeluruh sepanjang perjalanan tersebut. Daripada ASICS House yang menyediakan ruang untuk pelari berehat dan berhubung antara satu sama lain, hinggalah kemeriahan Zon Sorakan yang memberikan dorongan tambahan ketika mereka amat memerlukannya, serta menyaksikan atlet kami menyertai ribuan pelari lain di sepanjang laluan perlumbaan, sungguh menginspirasikan apabila melihat semua orang bersatu dan menjadikan hujung minggu perlumbaan ini pengalaman tersendiri buat mereka,” kata Boon Tib Soom Nik, Pengurus Negara ASICS Malaysia.

Melengkapkan lagi pengalaman KLSCM, ASICS Malaysia turut memperkenalkan koleksi barangan eksklusif ASICS x KLSCM 2026, yang menampilkan rangkaian pakaian RUNKL dengan tema “Where the City Meets the Stride” (Di Mana Kota Bertemu Langkah). Diinspirasikan oleh komuniti larian Kuala Lumpur, koleksi ini menggabungkan pengalaman harian rakyat Malaysia yang dekat di hati dengan tenaga dan dinamika kehidupan kota.

Koleksi ini direka oleh Wilson Ng, seorang artis dan pelukis mural tempatan dari Kota Kinabalu, yang mendapat inspirasi daripada pengalamannya sendiri berlari di jalan-jalan Kuala Lumpur. Hasil seni beliau mencerminkan tenaga dan semangat larian bandar yang autentik, khususnya menerusi rangkaian baju-T grafik “Run in Kuala Lumpur”, sekali gus menyuntik sentuhan tempatan yang segar dan berwarna-warni ke dalam suasana hujung minggu perlumbaan KLSCM.

Pada hari perlumbaan, tumpuan beralih daripada persediaan kepada prestasi apabila atlet ASICS menyertai ribuan pelari lain di garisan permulaan KLSCM.

Atlet ASICS meraikan kejayaan menaiki podium dalam kategori rakyat Malaysia bagi ASICS Half Marathon di KLSCM 2026.

Selepas berbulan-bulan menjalani latihan dan membuat persiapan, atlet ASICS mempamerkan prestasi cemerlang dalam pelbagai kategori perlumbaan KLSCM 2026. Dalam kategori Lelaki Malaysia bagi ASICS Half Marathon, atlet ASICS Daren James Nair A/L Rodney James meraih tempat pertama dengan catatan masa 1:13:44, diikuti Muhamad Asyhraf bin Mohamad Zaidin di tempat kedua dengan catatan masa 1:14:39.

Dalam kategori Wanita Malaysia, atlet ASICS Yu Hui Khiing meraih tempat kedua dengan catatan masa 1:33:08, manakala Duta Jenama Wanita ASICS Malaysia, Allison Yee Phui Se, menduduki tempat ketiga dengan catatan masa 1:37:00. Dalam kategori Veteran Wanita Malaysia bagi Full Marathon pula, atlet ASICS Lee Siok Chin turut meraih tempat pertama dengan catatan masa 3:19:07.

Bagi para atlet ini, pencapaian mereka menandakan kemuncak kepada dedikasi dan persiapan selama berbulan-bulan. Kejayaan ini mencerminkan pelbagai aspirasi yang mendorong pelari menyertai KLSCM, sama ada untuk merebut tempat di podium, mencatat rekod peribadi terbaik atau menguji kemampuan diri dengan melangkaui batasan sendiri.

Atlet ASICS, Daren James, melintasi garisan penamat untuk merangkul kemenangan dalam kategori Lelaki Malaysia bagi ASICS Half Marathon.

“Saya berasa bangga dapat membawa nama ASICS, jadi kejayaan menamatkan perlumbaan dalam kelompok tiga teratas merupakan satu bonus tambahan dan menjadikan kemenangan ini lebih bermakna buat kami. Tahun lalu, saya menyertai acara 10km, jadi ini merupakan penyertaan pertama saya dalam acara separuh maraton. Persiapan berjalan lancar dan saya gembira apabila usaha tersebut membuahkan keputusan yang baik. Laluan perlumbaan agak mencabar, tetapi bahagian terakhir merupakan segmen yang paling menyeronokkan, terutamanya apabila mendapat sorakan daripada orang ramai,” kata Daren James Nair A/L Rodney James, atlet ASICS yang menjuarai kategori Lelaki Malaysia bagi ASICS Half Marathon.

Walaupun kejayaan menaiki podium menjadi tumpuan, KLSCM meraikan setiap pelari dan matlamat peribadi di sebalik setiap nombor perlumbaan, sama ada untuk mencatat rekod peribadi terbaik, menamatkan jarak perlumbaan atau sekadar terus melangkah maju bersama-sama.

Di sebalik pencapaian dan detik bersejarah peribadi, hujung minggu perlumbaan ini turut menyerlahkan tenaga dan semangat yang menjadikan KLSCM acara penting dalam kalendar larian. Bagi ASICS Malaysia, penyertaan ini sekali lagi membuka peluang untuk menjadi sebahagian daripada detik-detik bermakna yang menjadikan pengalaman hujung minggu perlumbaan begitu istimewa buat para pelari.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading